Monday, 2 April 2018


WATAK DAN PERWATAKAN

1. Definisi Watak dan Perwatakan

Watak ialah pelaku atau aksi dalam sesebuah cerita. Menurut Lutfi Abas dan Awang Sariyan (1988), watak ialah tokoh dalam cerita. Kamaruddin Hj. Husin (1988) pula, watak itu ialah orang iaitu manusia atau bukan manusia (dengan sifat-sifat manusia) yang mengambil bahagian dalam sesebuah cereka. Selalunya, watak-watak ini diciptakan untuk mendukung peranan atau diberi fungsi untuk mendukung idea pokok, dan mengembangkan idea berkenaan hingga berjaya mencapai matlamatnya. S.Othman Kelantan (1985), menghuraikan watak itu sebagai satu gambaran tentang pelaku yang memegang peranan dalam novel (cereka), sama ada watak itu manusia atau binatang. Gambaran watak yang dimaksudkan oleh S.Othman Kelantan ini ialah gambaran tentang bentuk tubuhnya, besar kecilnya, tinggi rendahnya, hitam putihnya, gemuk atau kurus dan segala sesuatu tentang sifat peribadinya. Sekiranya watak itu manusia, maka sifat-sifat tentang manusia itu dijelaskan secara terperinci. Gambaran tentang watak ini akan menjelaskan kesesuaian peranannya dalam keseluruhan cereka ini.

Perwatakan pula merupakan satu cara bagaimana pengarang mencipta dan menyusun serta memperlakukan apa sahaja ke atas watak-watak ciptaannya itu. Perwatakan dalam sesebuah cereka itu merupakan pengerak yang melancarkan perjalanan cerita di dalam cereka tersebut. Kegagalan pengarang menghidupkan watak-watak akan mencacatkan plot cereka tersebut. William H.Hudson menggambarkan peranan watak dan perwatakan dalam cereka ini seperti berikut: We now see why the cerekas which hold the highest places in literature are in nearly all cases cerekas of character and not cerekas of plot. (Hashim Awang, 1984:55). Perwatakan juga ialah penggambaran atau pendedahan watak dalam karya sastera.

2. Peranan Watak

Watak merupakan teras dalam sesebuah cereka. Sebab itulah dalam keseluruhan cereka selalunya wataklah yang memainkan peranannya untuk menghidupkan cerita dan peristiwa yang berlaku sepanjang kisah atau cerita yang hendak disampaikan oleh pengarang. Daripada peranannya itulah menimbulkan berbagai-bagai peristiwa, kisah dan sebagainya yang akhirnya terjalinlah sebuah cereka yang menarik, dan daripada watak itu jugalah timbulnya perwatakan, iaitu ciri penting kepada watak tersebut.

          Peranan dan kedudukan watak perwatakan dalam sesebuah cereka adalah penting, kerana tanpa watak, gerakan plot dan idea tidak akan dapat ditonjolkan. Wataklah yang menghidup, mengerak, dan mengembangkan cerita dalam sesebuah cereka. Perlukisan watak dan perwatakan ini mempunyai konsep dan prinsipnya yang tersendiri. Walaupun dalam sesebuah karya itu terdapat ramai watak tetapi masing-masing mempunyai sifatnya yang tersendiri yang berlainan di antara satu watak dengan satu watak yang lain.

          Sulalatus Salatin dilihat dari sudut kepentingan setiap watak atau sejauhmana peranan yang dimainkan berkaitan dengan negara kota Melaka itu sendiri.Sebagai sebuah karya persejarahan Melayu, Sulalatus Salatin memberi tumpuan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di istana. Ini bermakna tumpuan cerita kepada watak-watak yang terdiri daripada golongan istana atau golongan raja. Dengan ini secara tidak langsung watak-watak yang terdiri daripada golongan raja adalah merupakan watak-watak yang penting.

          Watak seterusnya ialah daripada golongan pembesar-pembesar negeri seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana dan lain-lain. Golongan pembesar negeri amat penting memainkan peranan dalam konteks penulisan karya pensejarahan Melayu kerana kaitan peranan mereka yang amat rapat dengan golongan istana serta bidang tugas dan tanggungjawab yang sangat besar dalam menentukan kejayaan dan keutuhan sesebuah kerajaan itu.

3. Jenis Watak

Dalam sesebuah novel, banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

          1. Watak Utama

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita. Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau antagonis.

          2. Watak Protagonis

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita ke arah keadaan yang positif.

          3. Watak antagonis

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis.

          4. Watak bulat/bundar

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal oleh pembaca. Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka, dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya (jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak tersebut berubah.

          5. Watak Dinamik

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita.

          6. Watak Pipih

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya, kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.     

4. Golongan Watak dalam karya Sulalatus Salatin

Golongan Raja (Sultan)

Watak-watak dai golongan raja atau Sultan boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan berdasarkan pembahagian zaman pemerintahan. Raja yang memerintah pada zaman sebelum tertubuhnya kerajaan Melaka, raja-raja yang memerintah Melaka dan raja-raja yang memerintah Melaka selepas kejatuhannya.

1       Raja Iskandar Zul-karnain

                   merupakan pemerintah yang sangat hebat berketurunan Rom
                   banyak negeri telah ditakluk
                   telah mengislamkan Raja Kida Hindi dan berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariyah
                   hasil perkahwinan lahir seorang putera bernama Raja Aristun Syah
                   susur galur membawa hingga kepada keturunan Raja Suran

2       Raja Suran

                   Raja Suran merupakan seorang raja yang gagah perkasa dan masyhur kebesarannya
                   memerintah negeri Amdan Negara
                   banyak negeri tertakluk di bawah jajahannya kecuali China
                   Raja Suran merupakan raja yang hebat kerana mampu menakluk banyak negeri
                   Antaranya ialah Gangga Negara dan Langgui
                   Raja Suran juga seorang yang kreatif dan bijak kerana mampu untuk meneroka negeri bawah laut
                   baginda berkahwin dan dikurniakan tiga orang putera
                   Raja Suran juga memiliki kesaktian kerana kebolehan untuk berhubung dengan makhluk halus seperti jin

3       Demang Lebar Daun

                   berasal dari tanah Andalas
                   seorang yang taat setia kepada keturuna Raja Iskandar Zulkarnain
                   bertanggungjawab melaksanakan titah raja contohnya, segera mencarikan isteri untuk Nila Utama
                   merupakan pembesar istana yang pertama berbahasa kepada raja dengan bahasa “tuanku, patik”
                   berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap nasib masa depan puterinya.
                   Demang Lebar Daun sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyat
                   seorang yang bersikap toleransi dengan bersedia mengikat perjanjian

4       Sultan Muhammad Syah

                   nama sebelum memeluk Islam ialah Raja Kecil Besar
                   seorang raja yang adil dan saksama
                   raja pertama yang memeluk Islam
                   merupakan pengasas Kerajaan Melayu Melaka
                   melantik pembesar-pembesar negeri dengan memberi gelaran tertentu
                   Melaka mempunyai kedaulatan dan kebesaran
                   perletakan adat dan pantang larang
                   sangat memuliakan raja-raja negeri lain

5       Sultan Muzaffar Syah

                   nama sebenar ialah Raja Kassim
                   pada mulanya Sultan Muhammad Syah telah meletakkan nama Raja Ibrahim sebagai penggantinya dan kerana pengaruh Raja Rekan
                   dengan bantuan Maulana Jalaluddin dan pembesar lain menyebabkan Raja Kassim menjadi raja.
                   Sultan Muzaffar Syah memiliki sifat pilih kasih
                   telah meletakkan asas yang kukuh semasa menerajui kerajaan Melaka
                   Sultan Melaka pertama memperkenalkan dan mempraktikkan Hukum Kanun Melaka

6       Sultan Mansur Syah

                   nama sebenar Raja Abdullah
                   merupakan raja yang mempunyai paras rupa yang baik dan seorang yang adil
                   Sultan Mansur Syah menjalankan dasar perluasan tanah jajahan dengan menghantar angkatan perang
                   sultan yang bijaksana
                   meghantar utusan ke negeri China
                   berhasil mempertingkatkan kedaulatan dan maruah raja Melaka di mata Maharaja China
                   menjalin hubungan diplomatik yang erat
                   bertindak dengan penuh diplomasi, bijaksana dan mengorbankan kepentingan diri
                   seorang sultan yang berdaulat
                   menghargai ilmu pengetahuan dan seorang yang tegas

7       Sultan Alau'd-din Riayat Syah

                   nama sebenar ialah Raja Hussein
                   seorang sultan yang berjiwa rakyat dan bertanggungjawab
                   mempunyai sifat gagah berani dengan menghapuskan ancaman pencuri
                   sifat tegas dan bersungguh-sungguh memberi pengajaran kepada pembesar negeri
                   seorang yang tegas pendirian dan bertindak secara langsung dalam pentadbiran negeri
                   meninggalkan Melaka dalam keadaan stabil dan penuh disiplin

8       Sultan Mahmud Syah

                   nama sebenar ialah Raja Mamad
                   merupakan raja yang bersifat keji
                   berjahat dengan isteri Tun Biajid ketika ketiadaannya di rumah
                   sering mengunjungi rumah seorang perempuan yang bernama Tun Dewi
                   berminat kepada wanita cantik
                   kemucak daripada sifat buas Sultan Mahmud dilihat daripada tragedi yang membawa kepada pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir dan ahli keluarganya yang tidak menunjukkan Tun Fatimah sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali
                   mempunyai sifat pilih kasih di kalangan pembesar
                   seorang raja yang menghargai ilmu
                   berubah sikap setelah dewasa
                   seorang raja yang bijaksana kerana mampu meluaskan tanah jajahan

Golongan Pembesar Negeri

1.)Bendahara Paduka Raja Tun Perak

                   anak kepada Bendahara Seri Wak Raja
                   mempunyai dua saudara iaitu Tun Kudu dan Tun Perpatih Putih
                   merupakan pemimpin yang berwibawa
                   bijaksana menyelesaikan masalah yang timbul
                   merupakan ketua angkatan perang
                   memiliki kepandaian atau serba boleh
                   ramalan Tun Perak sering tepat


2.)Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir

                   anak Seri Nara Diraja
                   mengawal keselamatan Melaka dengan tegas
                   bertanggungjawab dalam hal ehwal yang melibatkan harta orang yang dijumpai
                   seorang yang adil dan saksama
                   sangat terkenal dan disenangi oleh para pedagang
                   seorang pembesar yang berwibawa
                   seorang yang tampan dan gemar berhias
                   mempunyai sifat rendah diri dan tidak mudah terpengaruh dengan pujian
                   merupakan ketua Angkatan Perang Melaka
                   menghormati dan taat setia kepada golongan raja
                   belajar ilmu agama
                   terkenal sebagai seorang pembesar yang sangat kaya
                   merupakan pembesar negeri yang taat setia
                   Bendahara Seri Maharaja dan keluarganya akhirnya dibunuh

3.)Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali

                   anak Mani Purindam
                   campur tangan dalam rampasan kuasa takhta Melaka daripada pemerintahan Sultan Abu Syahid
                   pembesar yang paling rapat dengan Sultan
                   mendapat jawatan kerana mempunyai pengaruh yang kuat
                   berkahwin dengan Tun Kudu

4.)Tun Hassan Temenggung

                   anak kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir
                   seorang yang kacak, memiliki rupa paras yang menarik, sering berpakaian kemas
                   mempunyai taat setia yang tidak berbelah bahagi
                   mempunyai sikap memandang rendah kepada pedagang-pedagang India-Muslim
                   sifat pilih kasih jelas dilihat daripada tindakannya yang tidak melarang anak buahnya yang memeras harta dan emas dari saudagar-saudagar yang berkedai di bandar Melaka
5.)Laksamana Hang Tuah

                   keturunan anak raja Bajung
                   berguru dan belajar ilmu hulubalang
                   tangkas bermain senjata dan tidak dapat ditandingi
                   mempunyai sahabat iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin
                   mempunyai rupa, cerdik dan perkasa
                   mempunyai sifat setia yang tiada berbelah bahagi
                   seorang yang amat menghargai sebarang anugerah dan pemberian
                   mendapat gelaran Laksamana
                   berperanan sebagai pengiring dan pengawal raja
                   mengetuai angkatan perang


Golongan Wanita
         
          Watak-watak yang banyak diceritakan dalam Sulalatus Salatin ialah Tun Fatimah dan Tun Teja.

Tun Fatimah

                   anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir
                   mempunyai rupa paras yang sangat cantik yang tiada tolok bandingnya
                   telah dikahwinkan dengan Tun Ali
                   -dikurniakan seorang anak iaitu Tun Terang
                   Sultan Mahmud berahi terhadap Tun Fatimah tetapi Bendahara Seri Maharaja mengahwinkan dengan Tun Ali. Oleh itu, Sultan menaruh dendam
                   merupakan Raja Perempuan Melaka selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud
                   seorang wanita yang tabah
                   menaruh dendam terhadap Sultan Mahmud kerana membunuh keluarganya
                   merupakan srikandi yang ada bersama-sama Sultan Mahmud walaupun dalam kepayahan
                   mendapat tiga orang anak bersama Sultan Mahmud
                   mangkat di Kampar


Tun Teja

                   anak Bendahara Pahang
                   ditunangkan dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Jamal
                   memiliki rupa paras yang cantik
                   Hang Nadim membawa lari Tun Teja ke Melaka
                   Tun Teja yang terpengaruh dengan pelulut telah mengikuti Hang Nadim ke Melaka
                   Sultan Mahmud telah berkahwin dengan Tun Teja
                   berlaku persengketaan antara Pahang dan Melaka
                   Sultan Abdul Jamat tersangat marah dan hendak menyerang Melaka
                   Sultan Mahmud menghantar Laksamana Khoja Hassan ke Pahang untuk membalas perbuatan Raja Pahang



Golongan Keturunan Asing (bukan Melayu)

1.)Tuan Jana Khatib

                   berasal dari Tanah Arab
                   mahir dalam ilmu khayal Ilahi
                   lalu di hadapan istana Raja Singapura
                   menilik pohon pinang hingga terbelah dua
                   Raja murka dan menjatuhkan hukuman bunuh
                   selepas dibunuh, badannya ghaib

2.)Maulana Jalalu'd-din

                   seorang saudagar yang berasal dari negeri atas angin
                   mengenali Raja Kassim ketika baginda menjadi nelayan
                   menjadi penasihat Raja Kassim
                   menolong Raja Kassim dengan syarat meminta Puteri Rekan

3.)Maulana Abu Bakar

                   murid kepada Maulana Abu Ishak
                   seorang pendeta yang mahir dalam ilmu tasawuf
                   menitahkan kitab Duri'l Mazlum ke Melaka
                   mengajar kitab dan ilmu tasawuf kepada Sultan Mansur Syah

4.)Makhdum Sadar Jahan

                   seorang pendeta
                   berasal dari Jeddah
                   seorang alim yang dimuliakn Sultan
                   bertegang pendapat dengan Tun Mai Ulat Bulu
                   oleh kerana Tun Mai Ulat Bulu tidak dapat menyebut perkataan Arab dengan betul


5.)Kitul

                   Kitul mencetuskan fitnah terhadap Bendahara
                   fitnahnya ada kaitan dengan hutangnya kepada Raja Mendeliar
                   Kitul tahu bahawa raja Mendeliar berselisih dengan Nina Sura Dewana
                   Nina Sura Dewana telah memberikan emas kepada Bendahara kerana takut Raja Mendeliar memberi rasuah kepada Bendahara untuk memenangi perbicaraan kerana Raja Mendeliar saudagar kaya
                   Raja Mendeliar menganggap Kitul berjasa kepadanya
                   fitnah yang disebarkan menyebabkan keluarga Bendahara dibunuh
                   Kitul dijatuhi hukuman sula apabila rahsia terbongkar tentang tuduhan ke atas Bendahara adalah tidak benar



6.)Ali Manu Nayan

                   seorang saudagar kaya-raya
                   memberi hadiah kepada orang-orang besar yang datang ke rumahnya
                   mempunyai perselisihan dengan Tun Hassan Temenggung


Golongan Utusan Melaka

Tun Telanai dan Menteri Jana Putera

                   Tun Telanai ialah anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak
                   terpilih mengetuai rombongan utusan Melaka ke Siam
                   pengapitnya ialah Menteri Jana Putera
                   Tun Telanai sangat bijaksana dan pintar
                   ketika mengadap Raja Siam, Tun Telanai memberikan maksud nama Sultan Mansur Syah iaitu 'raja yang ditolongi Allah daripada segala seterunya.'
                   mempertahankan nama baik Melaka
                   pandai membuat helah
                   memberi alasan kepada Raja Siam


Orang Kaya Tun Muhammad

                   utusan Melaka yang dihantar ke Pasai
                   anak Seri Amar Bangsa
                   beliau boleh menghafal isi kandungan surat yang dihantar ke Pasai
                   utusan ke Pasai tidak membawa surat sebaliknya isinya dihafal
                   isi surat dihafal sewaktu pelayaran


Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja

                   surat raja Melaka diarak ke perahu sebelum berlepas ke Mengkasar
                   mereka harus membawa pulang seorang budak suruhan iaitu Hang Tuah ke Melaka

                   akhirnya, mereka dapat membawa pulang seorang budak yang baik rupa dan mempunyai sikap yang berani

8 comments:

  1. Maklumat dan isi yang berguna.terbaik

    ReplyDelete
  2. Maklumat padat.terima kasih

    ReplyDelete
  3. Jarang kita jumpa blog yang sarat dengan ilmu dan perkara mengenai sulalatus salatin. Tahniah di atas perkongsian yang menarik ini

    ReplyDelete
  4. Satu perkongsian yang nenarik. Semoga ianya memberi manfaat kepada para pelajar.

    ReplyDelete
  5. Ia sangat membantu pelajar pada masa kini..

    ReplyDelete
  6. Sangat membantu saya membuat short note. Terima kasih

    ReplyDelete