Monday, 2 April 2018


WATAK DAN PERWATAKAN

1. Definisi Watak dan Perwatakan

Watak ialah pelaku atau aksi dalam sesebuah cerita. Menurut Lutfi Abas dan Awang Sariyan (1988), watak ialah tokoh dalam cerita. Kamaruddin Hj. Husin (1988) pula, watak itu ialah orang iaitu manusia atau bukan manusia (dengan sifat-sifat manusia) yang mengambil bahagian dalam sesebuah cereka. Selalunya, watak-watak ini diciptakan untuk mendukung peranan atau diberi fungsi untuk mendukung idea pokok, dan mengembangkan idea berkenaan hingga berjaya mencapai matlamatnya. S.Othman Kelantan (1985), menghuraikan watak itu sebagai satu gambaran tentang pelaku yang memegang peranan dalam novel (cereka), sama ada watak itu manusia atau binatang. Gambaran watak yang dimaksudkan oleh S.Othman Kelantan ini ialah gambaran tentang bentuk tubuhnya, besar kecilnya, tinggi rendahnya, hitam putihnya, gemuk atau kurus dan segala sesuatu tentang sifat peribadinya. Sekiranya watak itu manusia, maka sifat-sifat tentang manusia itu dijelaskan secara terperinci. Gambaran tentang watak ini akan menjelaskan kesesuaian peranannya dalam keseluruhan cereka ini.

Perwatakan pula merupakan satu cara bagaimana pengarang mencipta dan menyusun serta memperlakukan apa sahaja ke atas watak-watak ciptaannya itu. Perwatakan dalam sesebuah cereka itu merupakan pengerak yang melancarkan perjalanan cerita di dalam cereka tersebut. Kegagalan pengarang menghidupkan watak-watak akan mencacatkan plot cereka tersebut. William H.Hudson menggambarkan peranan watak dan perwatakan dalam cereka ini seperti berikut: We now see why the cerekas which hold the highest places in literature are in nearly all cases cerekas of character and not cerekas of plot. (Hashim Awang, 1984:55). Perwatakan juga ialah penggambaran atau pendedahan watak dalam karya sastera.

2. Peranan Watak

Watak merupakan teras dalam sesebuah cereka. Sebab itulah dalam keseluruhan cereka selalunya wataklah yang memainkan peranannya untuk menghidupkan cerita dan peristiwa yang berlaku sepanjang kisah atau cerita yang hendak disampaikan oleh pengarang. Daripada peranannya itulah menimbulkan berbagai-bagai peristiwa, kisah dan sebagainya yang akhirnya terjalinlah sebuah cereka yang menarik, dan daripada watak itu jugalah timbulnya perwatakan, iaitu ciri penting kepada watak tersebut.

          Peranan dan kedudukan watak perwatakan dalam sesebuah cereka adalah penting, kerana tanpa watak, gerakan plot dan idea tidak akan dapat ditonjolkan. Wataklah yang menghidup, mengerak, dan mengembangkan cerita dalam sesebuah cereka. Perlukisan watak dan perwatakan ini mempunyai konsep dan prinsipnya yang tersendiri. Walaupun dalam sesebuah karya itu terdapat ramai watak tetapi masing-masing mempunyai sifatnya yang tersendiri yang berlainan di antara satu watak dengan satu watak yang lain.

          Sulalatus Salatin dilihat dari sudut kepentingan setiap watak atau sejauhmana peranan yang dimainkan berkaitan dengan negara kota Melaka itu sendiri.Sebagai sebuah karya persejarahan Melayu, Sulalatus Salatin memberi tumpuan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di istana. Ini bermakna tumpuan cerita kepada watak-watak yang terdiri daripada golongan istana atau golongan raja. Dengan ini secara tidak langsung watak-watak yang terdiri daripada golongan raja adalah merupakan watak-watak yang penting.

          Watak seterusnya ialah daripada golongan pembesar-pembesar negeri seperti Bendahara, Temenggung, Laksamana dan lain-lain. Golongan pembesar negeri amat penting memainkan peranan dalam konteks penulisan karya pensejarahan Melayu kerana kaitan peranan mereka yang amat rapat dengan golongan istana serta bidang tugas dan tanggungjawab yang sangat besar dalam menentukan kejayaan dan keutuhan sesebuah kerajaan itu.

3. Jenis Watak

Dalam sesebuah novel, banyak watak yang dipaparkan oleh pengarang. Watak-watak tersebut berperanan untuk menghidupkan dan mengembangkan cerita. Pada umumnya, terdapat dua jenis watak yang diketengahkan dalam novel, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama dan watak sampingan itu pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, berdasarkan peranan yang dimainkan oleh watak-watak tersebut dalam cerita.

          1. Watak Utama

Watak utama ialah watak yang memainkan peranan utama dalam cerita. Dalam sesebuah cerita, pengarang banyak menumpukan penceritaannya terhadap watak utama kerana watak inilah menjadi fokus dalam cerita dan menjadi penggerak utama cerita. Watak utama biasanya diberi peranan oleh pengarang sebagai watak protagonis atau antagonis.

          2. Watak Protagonis

Watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik. Biasanya watak ini menggerakan cerita ke arah keadaan yang positif.

          3. Watak antagonis

Watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis.

          4. Watak bulat/bundar

Watak utama yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Sifat-sifat yang dimilikinya berubah-ubah dan tidak dapat diramal oleh pembaca. Kadangkala pembaca akan terperanjat dengan tindakan yang tidak disangka-sangka, dilakukan oleh watak berkenaan. Misalnya, watak A, digambarkan baik atau sebaliknya (jahat) pada peringkat awal cerita. Tetapi, tanpa diduga oleh pembaca tindakan watak tersebut berubah.

          5. Watak Dinamik

Watak dinamik sinonim dengan watak bulat. Tingkah lakunya boleh berubah-ubah sama ada dalam situasi yang kurang baik kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Watak ini degambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita.

          6. Watak Pipih

Watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya sebagaimana watak bulat. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja. Misalnya, kalau seseorang watak itu diberi peranan jahat, kita hanya berhadapan dengan tindak-tanduknya yang negatif sahaja di sepanjang cerita.     

4. Golongan Watak dalam karya Sulalatus Salatin

Golongan Raja (Sultan)

Watak-watak dai golongan raja atau Sultan boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan berdasarkan pembahagian zaman pemerintahan. Raja yang memerintah pada zaman sebelum tertubuhnya kerajaan Melaka, raja-raja yang memerintah Melaka dan raja-raja yang memerintah Melaka selepas kejatuhannya.

1       Raja Iskandar Zul-karnain

–                   merupakan pemerintah yang sangat hebat berketurunan Rom
–                   banyak negeri telah ditakluk
–                   telah mengislamkan Raja Kida Hindi dan berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariyah
–                   hasil perkahwinan lahir seorang putera bernama Raja Aristun Syah
–                   susur galur membawa hingga kepada keturunan Raja Suran

2       Raja Suran

–                   Raja Suran merupakan seorang raja yang gagah perkasa dan masyhur kebesarannya
–                   memerintah negeri Amdan Negara
–                   banyak negeri tertakluk di bawah jajahannya kecuali China
–                   Raja Suran merupakan raja yang hebat kerana mampu menakluk banyak negeri
–                   Antaranya ialah Gangga Negara dan Langgui
–                   Raja Suran juga seorang yang kreatif dan bijak kerana mampu untuk meneroka negeri bawah laut
–                   baginda berkahwin dan dikurniakan tiga orang putera
–                   Raja Suran juga memiliki kesaktian kerana kebolehan untuk berhubung dengan makhluk halus seperti jin

3       Demang Lebar Daun

–                   berasal dari tanah Andalas
–                   seorang yang taat setia kepada keturuna Raja Iskandar Zulkarnain
–                   bertanggungjawab melaksanakan titah raja contohnya, segera mencarikan isteri untuk Nila Utama
–                   merupakan pembesar istana yang pertama berbahasa kepada raja dengan bahasa “tuanku, patik”
–                   berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap nasib masa depan puterinya.
–                   Demang Lebar Daun sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyat
–                   seorang yang bersikap toleransi dengan bersedia mengikat perjanjian

4       Sultan Muhammad Syah

–                   nama sebelum memeluk Islam ialah Raja Kecil Besar
–                   seorang raja yang adil dan saksama
–                   raja pertama yang memeluk Islam
–                   merupakan pengasas Kerajaan Melayu Melaka
–                   melantik pembesar-pembesar negeri dengan memberi gelaran tertentu
–                   Melaka mempunyai kedaulatan dan kebesaran
–                   perletakan adat dan pantang larang
–                   sangat memuliakan raja-raja negeri lain

5       Sultan Muzaffar Syah

–                   nama sebenar ialah Raja Kassim
–                   pada mulanya Sultan Muhammad Syah telah meletakkan nama Raja Ibrahim sebagai penggantinya dan kerana pengaruh Raja Rekan
–                   dengan bantuan Maulana Jalaluddin dan pembesar lain menyebabkan Raja Kassim menjadi raja.
–                   Sultan Muzaffar Syah memiliki sifat pilih kasih
–                   telah meletakkan asas yang kukuh semasa menerajui kerajaan Melaka
–                   Sultan Melaka pertama memperkenalkan dan mempraktikkan Hukum Kanun Melaka

6       Sultan Mansur Syah

–                   nama sebenar Raja Abdullah
–                   merupakan raja yang mempunyai paras rupa yang baik dan seorang yang adil
–                   Sultan Mansur Syah menjalankan dasar perluasan tanah jajahan dengan menghantar angkatan perang
–                   sultan yang bijaksana
–                   meghantar utusan ke negeri China
–                   berhasil mempertingkatkan kedaulatan dan maruah raja Melaka di mata Maharaja China
–                   menjalin hubungan diplomatik yang erat
–                   bertindak dengan penuh diplomasi, bijaksana dan mengorbankan kepentingan diri
–                   seorang sultan yang berdaulat
–                   menghargai ilmu pengetahuan dan seorang yang tegas

7       Sultan Alau'd-din Riayat Syah

–                   nama sebenar ialah Raja Hussein
–                   seorang sultan yang berjiwa rakyat dan bertanggungjawab
–                   mempunyai sifat gagah berani dengan menghapuskan ancaman pencuri
–                   sifat tegas dan bersungguh-sungguh memberi pengajaran kepada pembesar negeri
–                   seorang yang tegas pendirian dan bertindak secara langsung dalam pentadbiran negeri
–                   meninggalkan Melaka dalam keadaan stabil dan penuh disiplin

8       Sultan Mahmud Syah

–                   nama sebenar ialah Raja Mamad
–                   merupakan raja yang bersifat keji
–                   berjahat dengan isteri Tun Biajid ketika ketiadaannya di rumah
–                   sering mengunjungi rumah seorang perempuan yang bernama Tun Dewi
–                   berminat kepada wanita cantik
–                   kemucak daripada sifat buas Sultan Mahmud dilihat daripada tragedi yang membawa kepada pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir dan ahli keluarganya yang tidak menunjukkan Tun Fatimah sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali
–                   mempunyai sifat pilih kasih di kalangan pembesar
–                   seorang raja yang menghargai ilmu
–                   berubah sikap setelah dewasa
–                   seorang raja yang bijaksana kerana mampu meluaskan tanah jajahan

Golongan Pembesar Negeri

1.)Bendahara Paduka Raja Tun Perak

–                   anak kepada Bendahara Seri Wak Raja
–                   mempunyai dua saudara iaitu Tun Kudu dan Tun Perpatih Putih
–                   merupakan pemimpin yang berwibawa
–                   bijaksana menyelesaikan masalah yang timbul
–                   merupakan ketua angkatan perang
–                   memiliki kepandaian atau serba boleh
–                   ramalan Tun Perak sering tepat


2.)Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir

–                   anak Seri Nara Diraja
–                   mengawal keselamatan Melaka dengan tegas
–                   bertanggungjawab dalam hal ehwal yang melibatkan harta orang yang dijumpai
–                   seorang yang adil dan saksama
–                   sangat terkenal dan disenangi oleh para pedagang
–                   seorang pembesar yang berwibawa
–                   seorang yang tampan dan gemar berhias
–                   mempunyai sifat rendah diri dan tidak mudah terpengaruh dengan pujian
–                   merupakan ketua Angkatan Perang Melaka
–                   menghormati dan taat setia kepada golongan raja
–                   belajar ilmu agama
–                   terkenal sebagai seorang pembesar yang sangat kaya
–                   merupakan pembesar negeri yang taat setia
–                   Bendahara Seri Maharaja dan keluarganya akhirnya dibunuh

3.)Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali

–                   anak Mani Purindam
–                   campur tangan dalam rampasan kuasa takhta Melaka daripada pemerintahan Sultan Abu Syahid
–                   pembesar yang paling rapat dengan Sultan
–                   mendapat jawatan kerana mempunyai pengaruh yang kuat
–                   berkahwin dengan Tun Kudu

4.)Tun Hassan Temenggung

–                   anak kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutakhir
–                   seorang yang kacak, memiliki rupa paras yang menarik, sering berpakaian kemas
–                   mempunyai taat setia yang tidak berbelah bahagi
–                   mempunyai sikap memandang rendah kepada pedagang-pedagang India-Muslim
–                   sifat pilih kasih jelas dilihat daripada tindakannya yang tidak melarang anak buahnya yang memeras harta dan emas dari saudagar-saudagar yang berkedai di bandar Melaka
5.)Laksamana Hang Tuah

–                   keturunan anak raja Bajung
–                   berguru dan belajar ilmu hulubalang
–                   tangkas bermain senjata dan tidak dapat ditandingi
–                   mempunyai sahabat iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin
–                   mempunyai rupa, cerdik dan perkasa
–                   mempunyai sifat setia yang tiada berbelah bahagi
–                   seorang yang amat menghargai sebarang anugerah dan pemberian
–                   mendapat gelaran Laksamana
–                   berperanan sebagai pengiring dan pengawal raja
–                   mengetuai angkatan perang


Golongan Wanita
         
          Watak-watak yang banyak diceritakan dalam Sulalatus Salatin ialah Tun Fatimah dan Tun Teja.

Tun Fatimah

–                   anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir
–                   mempunyai rupa paras yang sangat cantik yang tiada tolok bandingnya
–                   telah dikahwinkan dengan Tun Ali
–                   -dikurniakan seorang anak iaitu Tun Terang
–                   Sultan Mahmud berahi terhadap Tun Fatimah tetapi Bendahara Seri Maharaja mengahwinkan dengan Tun Ali. Oleh itu, Sultan menaruh dendam
–                   merupakan Raja Perempuan Melaka selepas berkahwin dengan Sultan Mahmud
–                   seorang wanita yang tabah
–                   menaruh dendam terhadap Sultan Mahmud kerana membunuh keluarganya
–                   merupakan srikandi yang ada bersama-sama Sultan Mahmud walaupun dalam kepayahan
–                   mendapat tiga orang anak bersama Sultan Mahmud
–                   mangkat di Kampar


Tun Teja

–                   anak Bendahara Pahang
–                   ditunangkan dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Jamal
–                   memiliki rupa paras yang cantik
–                   Hang Nadim membawa lari Tun Teja ke Melaka
–                   Tun Teja yang terpengaruh dengan pelulut telah mengikuti Hang Nadim ke Melaka
–                   Sultan Mahmud telah berkahwin dengan Tun Teja
–                   berlaku persengketaan antara Pahang dan Melaka
–                   Sultan Abdul Jamat tersangat marah dan hendak menyerang Melaka
–                   Sultan Mahmud menghantar Laksamana Khoja Hassan ke Pahang untuk membalas perbuatan Raja Pahang



Golongan Keturunan Asing (bukan Melayu)

1.)Tuan Jana Khatib

–                   berasal dari Tanah Arab
–                   mahir dalam ilmu khayal Ilahi
–                   lalu di hadapan istana Raja Singapura
–                   menilik pohon pinang hingga terbelah dua
–                   Raja murka dan menjatuhkan hukuman bunuh
–                   selepas dibunuh, badannya ghaib

2.)Maulana Jalalu'd-din

–                   seorang saudagar yang berasal dari negeri atas angin
–                   mengenali Raja Kassim ketika baginda menjadi nelayan
–                   menjadi penasihat Raja Kassim
–                   menolong Raja Kassim dengan syarat meminta Puteri Rekan

3.)Maulana Abu Bakar

–                   murid kepada Maulana Abu Ishak
–                   seorang pendeta yang mahir dalam ilmu tasawuf
–                   menitahkan kitab Duri'l Mazlum ke Melaka
–                   mengajar kitab dan ilmu tasawuf kepada Sultan Mansur Syah

4.)Makhdum Sadar Jahan

–                   seorang pendeta
–                   berasal dari Jeddah
–                   seorang alim yang dimuliakn Sultan
–                   bertegang pendapat dengan Tun Mai Ulat Bulu
–                   oleh kerana Tun Mai Ulat Bulu tidak dapat menyebut perkataan Arab dengan betul


5.)Kitul

–                   Kitul mencetuskan fitnah terhadap Bendahara
–                   fitnahnya ada kaitan dengan hutangnya kepada Raja Mendeliar
–                   Kitul tahu bahawa raja Mendeliar berselisih dengan Nina Sura Dewana
–                   Nina Sura Dewana telah memberikan emas kepada Bendahara kerana takut Raja Mendeliar memberi rasuah kepada Bendahara untuk memenangi perbicaraan kerana Raja Mendeliar saudagar kaya
–                   Raja Mendeliar menganggap Kitul berjasa kepadanya
–                   fitnah yang disebarkan menyebabkan keluarga Bendahara dibunuh
–                   Kitul dijatuhi hukuman sula apabila rahsia terbongkar tentang tuduhan ke atas Bendahara adalah tidak benar



6.)Ali Manu Nayan

–                   seorang saudagar kaya-raya
–                   memberi hadiah kepada orang-orang besar yang datang ke rumahnya
–                   mempunyai perselisihan dengan Tun Hassan Temenggung


Golongan Utusan Melaka

Tun Telanai dan Menteri Jana Putera

–                   Tun Telanai ialah anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak
–                   terpilih mengetuai rombongan utusan Melaka ke Siam
–                   pengapitnya ialah Menteri Jana Putera
–                   Tun Telanai sangat bijaksana dan pintar
–                   ketika mengadap Raja Siam, Tun Telanai memberikan maksud nama Sultan Mansur Syah iaitu 'raja yang ditolongi Allah daripada segala seterunya.'
–                   mempertahankan nama baik Melaka
–                   pandai membuat helah
–                   memberi alasan kepada Raja Siam


Orang Kaya Tun Muhammad

–                   utusan Melaka yang dihantar ke Pasai
–                   anak Seri Amar Bangsa
–                   beliau boleh menghafal isi kandungan surat yang dihantar ke Pasai
–                   utusan ke Pasai tidak membawa surat sebaliknya isinya dihafal
–                   isi surat dihafal sewaktu pelayaran


Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja

–                   surat raja Melaka diarak ke perahu sebelum berlepas ke Mengkasar
–                   mereka harus membawa pulang seorang budak suruhan iaitu Hang Tuah ke Melaka

–                   akhirnya, mereka dapat membawa pulang seorang budak yang baik rupa dan mempunyai sikap yang berani

8 comments:

  1. Maklumat dan isi yang berguna.terbaik

    ReplyDelete
  2. Maklumat padat.terima kasih

    ReplyDelete
  3. Jarang kita jumpa blog yang sarat dengan ilmu dan perkara mengenai sulalatus salatin. Tahniah di atas perkongsian yang menarik ini

    ReplyDelete
  4. Satu perkongsian yang nenarik. Semoga ianya memberi manfaat kepada para pelajar.

    ReplyDelete
  5. Ia sangat membantu pelajar pada masa kini..

    ReplyDelete
  6. Sangat membantu saya membuat short note. Terima kasih

    ReplyDelete