TOKOH - TUN SERI LANANG
Tun
Seri Lanang ialah Bendahara Paduka
Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615, serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan
moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu. Salasilah kesultanan Terengganu yang
terdapat dalam Sejarah
Terengganu (buku)
karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka 1974
ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor -
Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor
dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan
Zainal Abidin I (Sultan
Terengganu Pertama) dan kepada Sultan
Abdul Jalil IV (Sultan
Johor ke-11 dari 1699 hingga 1719). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun
Habib Abdul Majid adalah
anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada
Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).
Dalam
pengetahuan orang-orang Melayu, nama Tun Seri Lanang lebih dikenali
sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang
setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).Tun Seri Lanang adalah pengarang
atau penyusun semula Sulalatus Salatin. Teks asal Sulalatus Salatin dipercayai
berasal dari sebuah Hikayat Melayu yang dibawa dari Goa. Naskhah asal hikayat
tersebut mungkin mungkin sebahagian sahaja dan telah ditokok tambah atau
ditulis semula oleh seorang pengarang Melayu yang hidup sezaman dengan pemerintahan Sultan
Mahmud Syah (tahun 1488 – 1511). Naskhah asal hikayat tersebut mungkin
sebahagian sahaja dan telah ditokok tambah dari sumber – sumber lisan dan
diperturunkan dari mulut ke mulut. Tun Seri Lanang mencatatkan dalam mukadimah
Sulalatus Salatin sebagai:
“Hamba
dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa.; barang kita perbaiki
kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang
kemudian daripada kita dan boleh diingatkan, oleh segala mereka itu. Dan adalah
beroleh faedah ia daripadanya.” (Sulalatus Salatin, hal. xxi – xxii)
Pengarang asal Sulalatus Salatin
dipercayai seorang “scholar” (Abu Hassan Sham, hal.86), seorang intelektual
Melayu yang berminat dalam sejarah dan peka dalam suasana perkembangan dan
perubahan politik yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum di Melaka pada waktu
itu. Sebagai seorang intelektual, ia mungkin telah membaca Hikayat Iskandar
Zulkarnain dan Hikayat Raja – Raja Pasai (naskhah sastera sejarah yang tertua)
kerana dalam Sulalatus Salatin dimasukkan kisah – kisah mengenai tokoh Iskandar
Zulkarnain dan peristiwa – peristiwa daripada zaman kesultanan Pasai – Semudra.
Kesultanan
Melayu Melaka dan pewarisnya Kesultanan Johor Lama bukan sahaja pernah menempa
sejarah gemilang dengan kelahiran raja-raja yang hebat dan berdaulat
besar seperti Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin
Riayat Shah, tetapi juga telah melahirkan tokoh-tokoh cemerlang dari kalangan
keluarga bendaharanya yang turut sama mewarnai serta menceriakan lanskap
sejarah pemerintahan orang-orang Melayu dahulu kala, dalam peranannya
sebagai ‘tempat perbendaharaan segala rahsia raja’ serta ‘memerintah,
memberi kebajikan atas bumi yang dilingkari raja itu.”
Dari
kalangan keluarga bendahara telah lahir tokoh-tokoh yang berwibawa seperti Tun
Perak dan Tun Mutahir, pahlawan-pahlawan Melayu perkasa seperti Bendahara
Paduka Tuan dan Tun Jenal, tokoh yang menjadi pelopor budaya Melayu seperti Tun
Hassan Temenggong, pengasas silat gayung iaitu Tun Biajid, pujangga Melayu
terunggul seperti Tun Isap Misai dan Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang, tokoh
yang berjasa menyelamatkan maruah Institusi Beraja seperti Raden Anum, Tun
Habib Abdul Majid dan Tun Habib Abdul Jalil (kemudian menjadi Sultan Abdul
Jalil Riayat Shah IV) dan ramai lagi tokoh lain seperti Tun Khoja Ahmad, Tun
Abdul Majid, Tun Ali dan sebagainya.
Malahan
dari titisan bendaharalah lahirnya serikandi-serikandi
Melayu terbilang seperti Tun Kudu, Tun Fatimah, Tun Che’ Ayu
(Serikandi Riau), Tun (Wan) Puteh (Serikandi Mandailing), serta wanita Melayu tercantik
iaitu Tun Teja. Maka, ‘kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut
menjadi pulau’, mengkaji sejarah dan latarbelakang Bendahara Paduka Raja
Tun Muhammad, atau lebih terkenal dengan jolokan Tun Seri
Lanang sudah tentu mengingatkan kita kepada bidalan lama ini.
Tun
Seri Lanang lahir pada abad ke 16 Masihi di
Seluyut, Johor Lama dan menjadi bendahara kepada dua
sultan bagi kesultanan tersebut iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II
(1570/71-1597M) dan Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615M).
Beliau juga ditakdirkan menjadi Uleebalang Kenegerian Samalanga, iaitu
pemerintah otonomi di sebuah jajahan Kesultanan Aceh Darussalam
serta penasihat kepada tiga sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda
(1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin
Shah (1641-1675M). Di Aceh Tun Seri Lanang bergelar Orang Kaya Dato’ Bendahara
Seri Paduka Tun Seberang.
Bangsa
Melayu mengenang Tun Seri Lanang sebagai seorang tokoh sejarah dan pujangga
Melayu yang agung. Karyanya yang monumental iaitu buku Sulalatus Salatin atau nama jolokannya Sejarah Melayu yang menjadi rujuan dan kajian sehingga hari ini
telah memahkotakan Tun Seri Lanang sebagai pujangga Agung Nusantara. Kemasyhuran
kitab Sejarah Melayu dikaitkan dengan perincian sejarah
Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah negara Melayu yang
paling kuat, agung dan kaya pada abad ke 15M. Lantaran itu karya tersebut
seringkali diselidiki sebagai sebuah dokumen sejarah yang menggambarkan antara
lain, kelahiran kerajaan Melaka bersekali dengan tamadun Melayu Islam berajanya,
pengluasan kuasa pemerintahnya serta pelbagai aspek dan titik bangkit kehidupan
kesultanan tersebut yang berakhir dengan episode keruntuhannya akibat serangan
Portugis pada tahun 1511 M. Ini bermakna kitab Sulalatus Salatin menjadi
antara sumber rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan
kebudayaan Melayu awal.
Menurut
Profesor Dato’ Dr Mohd Yusoff Hashim, sumbangan terbesar yang dibuat oleh Tun
Seri Lanang sebagai mengikut titah Yang Dipertuan di Hilir (Raja Abdullah,
kemudian menjadi Sultan Abdullah Maayah Shah Johor 1615-1623) dalam
menyusun teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ialah
:
“Mengketengahkan
serta memberi kesedaran kepada masyarakat dunia bahawa bangsa Melayu adalah
bertamadun setara tamadun-tamadun dunia lainnya waktu itu.“
Dalam hal ini, Tun Seri Lanang bukan sahaja telah
menuangkan jasa yang besar kepada bangsa Melayu sebagai pengarang kitab Sulalatus
Salatin atau Sejarah Melayu, malahan dalam peranannya
sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga di Aceh, telah meninggalkan jejak yang
besar dalam memberi sumbangan kepada pemertabatan agama dan bangsa di
sana. Malahan Tun Seri Lanang juga telah meninggalkan warisan keluarga
yang cemerlang di kedua-dua Tanah Melayu dan Aceh. Sampai hari ini Kesultanan
Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor masih dipegang oleh zuriat Tun Seri
Lanang. Sedangkan di Aceh pula, keturunan Tun Seri Lanang dari
keluarga dan kaum-kerabat Uleebalang Kenegerian Samalanga telah bersatu darah
dengan bangsawan-bangsawan Aceh yang lainnya sehingga melahirkan beberapa tokoh
Indonesia yang terkenal seperti Pocut Meuligo-‘Serikandi Aceh’, pejuang
bangsa dan negara seperti Amponsyik (Uleebalang) Samalanga Teuku Muda Bugis
Teuku Hamid Azwar, Teuku Daud Shah dan Mayjend Teuku Hamzah
Bendahara, Teuku H. Zainal Abidin Bendahara dan Teuku H Husen Bendahara.
Kesimpulannya,
sebagai seorang tokoh sejarah Melayu tradisional baik dalam bidang
kesusasteraan, politik Melayu / Aceh lama, mahupun dalam perkembangan serta
pendidikan Islam, sejarah dan riwayat hidup Tun Seri Lanang patut diketengahkan
sebagai suri tauladan serta pencetus semangat bangsa dan agama
khususnya bagi orang-orang Melayu.
KRONOLOGI
Pertengahan Abad ke 16 Masihi :
Pertengahan Abad ke 16 Masihi :
Tun
Muhammad atau Tun Seri Lanang lahir di Seluyut dalam Kesultanan Johor Lama.
Sekitar 1575 - 1613 Masihi :
Sekitar 1575 - 1613 Masihi :
Menjadi
bendahara kepada dua sultan bagi kerajaan Johor Lama yang bernama
Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570/71-1597M) dan Sultan
Alauddin Riayat Shah III (1597-1615M).
13 Mei 1612 Masihi :
13 Mei 1612 Masihi :
Tun
Seri Lanang menerima titah Raja Abdullah atau yang disebut juga Yang Dipertuan
di Hilir untuk mengarang kitab Sulalatus Salatin iaitu pada
masa kekanda Raja Abdullah iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah III sedang
bersemayam di Pasir Raja atau Pekan Tua.
Mei 1613 Masihi :
Mei 1613 Masihi :
Semenjak
tahun 1613M, Sultan Aceh Darusssalam yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Muda
Mahkota Alam (1607-1636M) telah membuat serangan ke atas banyak negeri-negeri
Melayu termasuk Johor Lama, Pahang Lama, Perak dan kerajaan-kerajaan
lainnya, dibuat sebagai strategi Sultan Iskandar Muda untuk menghambat
pengaruh dan kuasa Portugis dari kepulauan Melayu serta meluaskan kepentingan
kerajaannya yang besar.
Antaranya
termasuklah peristiwa Perang Batu Sawar yang melibatkan serangan tentera Aceh
keatas ibukota Kesultanan Johor Lama. Selesai berperang, Sultan Johor iaitu
Sultan Alauddin, Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta
orang-orang besar Johor telah ditawan dan dibawa balik ke negeri
AcehSultan Johor kemudiannya telah pulang ke Johor sementara Tun Seri Lanang
terus tinggal di Aceh sehingga masa kemangkatannya.
1613 Masihi :
1613 Masihi :
Sultan
Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Tun Seri Lanang sebagai Uleebalang
Kenegerian Samalanga, iaitu bersifat pemerintah otonomi dalam sebuah jajahan
Kesultanan Aceh.
Sehingga 1659 Masihi :
Disamping peranannya sebagai Uleebalang Samalanga, Tun Seri Lanang juga telah dilantik sebagai penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thani (putera Pahang yang menjadi Sultan Aceh) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (permaisuri Sultan Iskandar Thani) dengan gelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Sri Paduka Tun Seberang.
Sehingga 1659 Masihi :
Disamping peranannya sebagai Uleebalang Samalanga, Tun Seri Lanang juga telah dilantik sebagai penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thani (putera Pahang yang menjadi Sultan Aceh) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (permaisuri Sultan Iskandar Thani) dengan gelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Sri Paduka Tun Seberang.
Sepanjang
tempuh kehidupan Tun Seri Lanang sebagai uleebalang/pemerintah otonomi di
Samalanga, beliau telah berjumpa dan bersahabat dengan kalangan alim-ulama Aceh
yang tersohor. Pada masa ini jugalah Syeikh Nuruddin Ar-Raniry (pengarang
kitab mashur Bustanus Salatin) sempat bertemu dengan Tun Seri
Lanang, sehingga membawa kepada perhubungan yang saling
memenafatkan, saling bertukar ilmu pengetahuan iaitu tentang agama Islam
yang dikuasai oleh Syeikh Nuruddin, serta bahasa dan kesusasteraan Melayu yang
dikuasai pula oleh Tun Seri Lanang.
Tun
Seri Lanang yang memulai penulisan kitab Sulalatus Salatin di
Batu Sawar, Kesultanan Johor Lama dalam tahun 1612 Masihi telah meneruskan misi
tersebut sepanjang kehidupannya sebagai uleebalang/pemerintah otonomi di Samalanga,
Aceh Darussalam.
Kesimpulannya,
dalam peranan sebagai bendahara bagi Kesultanan Johor Lama (yang mewarisi
Kesultanan Melaka dari aspek keturunan dan kuasa politik Melayu tradisional),
dan kemudiannya sebagai uleebalang serta penasihat bagi Raja-raja Aceh,
pendedahan Tun Seri Lanang kepada kehidupan dalaman istana dua kerajaan Melayu
yang terbesar waktu itu sudah tentu telah dimenafaatkan sepenuhnya dalam
penulisan kitab Sulalatus Salatin. Malahan persahabatan
eratnya dengan alim ulama Aceh, pengkajiannya pada sejarah
kedatangan serta perkembangan Islam di Alam Melayu yang kebetulan
bermula seawal tahun 850 Masihi, iaitu di zaman tabit tabiin di bahagian Aceh
lama seperti Perlak dan Pasai telah memberikan advantage yang
besar kepada Tun Seri Lanang dalam misi kepengarangannya sehingga berjaya menghasilkan
sebuah karya yang agung dan monumental.
1659 Masihi :
1659 Masihi :
Tun
Seri Lanang meninggal dunia di Samalanga, Aceh. Zuriatnya berterusan menjadi
pemeritah otonomi di sana sedangkan sebahagian lagi zuriatnya kembali ke Johor
lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan
Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan
dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat
dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia. Al - Fatihah
Subhanallah. Sangat membantu untuk lebih mengenali tokoh Tun Seri Lanang. Terima kasih
ReplyDeleteThank info 😊😊
ReplyDeleteMaklumat yang diberikan sangat bermanfaat. Terima kasih
ReplyDeleteSangat membantu.terima kasih
ReplyDeleteTerima kasih. harini saya dapat tahu serba sedikit mengenai penulis asal sulalatus salatin.
ReplyDelete