NILAI
KEMANUSIAAN
Kemanusiaan
bermaksud perihal manusia, sifat – sifat manusia (Kamus Dewan, Edisi Ketiga,
K.L 1994, hlm.859)
Sifat
– sifat manusia itu meliputi hal – hal yang baik dan murni iaitu sifat – sifat
yang dituntut sebagai suatu yang seharusnya dimiliki oleh seorang yang bernama
manusia kerana kelebihan kejadian sifat manusia yang dianugerahi akal dan budi
di samping nafsu. Sifat – sifat manusia itu dilihat juga dari sifat – sifat
yang berlawanan atau sesuatu sifat yang berdasarkan hawa nafsu semata – mata.
Sifat – sifat buruk, keji dan hina.
Perikemanusiaan pula bermaksud, “sifat –
sifat yang wajar bagi manusia (seperti bertimbang rasa, tolong – menolong,
mengasihi dan sebagainya).
Berperikemanusiaan bermakna,
“mempunyai perikemanusiaan (seperti perasaan bertimbang rasa, tolong – menolong
mengasihi dan sebagainya).
Ketidakperikemanusiaan bermaksud, “perihal
tidak mempunyai perasaan perikemanusiaan.
Unsur – unsur kemanusiaan akan dilihat dari dua sudut iaitu;
a) Kemanusiaan
yang positif atau berperikemanusiaan. Termasuklah nilai – nilai baik, murni dan
mengutamakan nilai kemanusiaan. Sifat – sifat seperti adil, berbudi bahasa,
berjasa, bertimbang rasa, setia, sanggup berkorban, nasihat menasihati, rendah
diri dan sebagainya.
b) Kemanusiaan
yang negative atau ketidak-perikemanusiaan iaitu sifat – sifat jahat dan buruk
yang menepikan nilai – nilai kemanusiaan. Termasuk dalam sifat – sifat kejam,
ganas, perasaan dendam dan iri hati, pemarah, emosional, belot, tamak, haloba,
cemburu, zalim dan sebagainya.
Kemanusiaan
Yang Positif (Mengutamakan Nilai Kemanusiaan)
1 Adil
dan Bijaksana
Sulalatus
Salatin menyebut dengan jelas tentang beberapa orang raja dan pembesar
Melaka yang mentadbir Melaka dengan penuh sifat – sifat adil dan bijaksana.
Mereka mengutamakan tanggungjawab dan amanah sebagai ketua negara bagi menjamin
kehidupan rakyat dalam aman dan damai. Antara Sultan Melaka yang memiliki sifat
adil dan saksama ialah:
a) Sultan
Mansur Syah. Sulalatus Salatin menyebut tentang sifat baginda sebagai:
“…..
terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi murah; seorang pun raja – raja
di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.”
b) Sultan
Alau’d-Din Riayat Syah juga terkenal sebagai seorang Sultan yang adil dan
bertanggungjawab. Baginda sanggup menyamar sebagai rakyat biasa bagi mengetahui
sendiri tentang kawalan keselamatan yang dilakukan oleh pembesar – pembesar
negeri dengan tujuan mengatasi masalah kecurian di Melaka.
c) Raja
Kecil Besar juga seorang pemerintah yang digambarkan sebagai:
“Terlalulah
adil saksama baginda pada memeliharakan segala rakyat, seorang pun tiada raja –
raja dalam alam ini sepertinya pada zaman itu, lagi dengan murahnya.”
(Sulalatus Salatin, hlm.72)
2 Berjasa
dan Berbakti
Dalam
konteks pemerintahan feudal raja memiliki kuasa mutlak. Rakyat dan pembesar
akan memberi tumpuan dan menumpahkan sepenuh taat setia serta berbakti kepada
raja. Sebagai pembalasan dan rasa penghargaan di atas bakti yang dicurahkan,
sultan memberi anugerah atau kurnia sama ada dalam bentuk persalinan, barang –
barang berharga seperti emas, permata atau kurniaan pangkat kebesaran dan
gelaran – gelaran tertentu.
a) Jasa
bakti Tun Perak sewaktu angkatan Siam menyerang Melaka. Tun Perak memegang
jawatan penghulu orang – orang Kelang. Kejayaan Tun Perak menyekat kemaraan
Siam serta serangan Siam hingga menyelamatkan Melaka tanpa pertumpahan darah
telah mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Sultan Muzaffar Syah. Tun
Perak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.
Jika
mengikut adat dan peraturan Melaka, Tun Peraklah yang sepatutnya menduduki
jawatan sebagai Bendahara Melaka setelah ayahandanya Bendahara Seri Wak Raja
mati (minum racun) tetapi oleh kerana Seri Nara Diraja sangat berpengaruh
(jasanya menaikkan Sultan Muzaffar Syah di atas takhta) maka jawatan Bendahara
dipegang oleh Seri Nara Diraja.
Tun
Perak seolah – olah membawa diri ke Kelang dan dilantik sebagai Penghulu
Kelang. Sebagai seorang anak pembesar, darah pembesar tetap mengalir dalam diri
Tun Perak. Kewibawaan beliau sebagai tokoh pemimpin yang berkaliber tetap
terserlah. Beliau tidak pernah “merajuk” dalam melaksanakan tugas dan berbakti
kepada Melaka walaupun ia tersingkir daripada jawatan yang menjadi “haknya”.
Ini jelas apabila raja mengerahkan seluruh pahlawan daripada segenap pelosok
negeri berkumpul di Melaka bagi menghadapi serangan Siam.
b) Jasa
bakti Tun Telanai dan Menteri Jana Putera serta utusan Melaka yang pergi ke
Siam kerana berhasil menjalinkan hubungan baik antara Melaka dengan Siam
mendapat penghargaan Sultan:
“Maka
baginda pun terlalu sukacita, serta memberi anugerahi persalin Tun Telanai dan
Menteri Jana Putera serta segala utusan Siam itu.” (Sulalatus Salatin,
hlm.111)
3 Sifat
Bertimbang Rasa dan Diplomasi
Sifat
ini juga sangat jelas dalam beberapa tindakan yang dibuat terutamanya oleh
pihak pemerintah yang menentukan sesuatu dasar atau tindakan. Dengan wujudnya
sifat kemanusiaan yang murni ini, beberapa perkara buruk yang melibatkan
kemusnahan dapat dihindari.
a) Raja
Iskandar Zul – Karnain sewaktu menyerang negeri Kida Hindi telah berjaya
menawan negeri tersebut. Raja Kida Hindi telah diIslamkan, begitu juga dengan
segala pembesar dan rakyatnya. Puteri Raja Kida Hindi telah diIslamkan dan
dijadikan isterinya. Tindakan Raja Iskandar jelas mengandungi nilai – nilai
kemanusiaan yang sangat mulia kerana pada kebiasaannya dalam peperangan, negeri
yang kalah bermakna rajanya terpaksa turun takhta. Tetapi kerana kemanusiaan,
Raja Iskandar terus “membenarkan” Raja Kida Hindi memerintah dan membimbing
baginda kepada agama yang diredai.
b) Sultan
Alau’d-Din Riayat Syah adalah terkenal dengan sifat – sifat adil dalam
membuat keputusan yang wajar demi untuk menjaga keamanan Melaka. Dengan
tindakan baginda, telah memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat. Tindakannya
telah memberi kesedaran kepada pembesar – pembesar negeri yang bertanggungjawab
dalam soal – soal keselamatan untuk bekerja dengan lebih bersungguh – sungguh
bagi mengembalikan keamanan dan menjamin keadaan aman berpanjangan dengan
menguatkuasakan undang – undang dan hukuman.
4 Memberi
Nasihat dan Pengajaran
Nasihat
– menasihati antara satu dengan yang lain amatlah dituntut dalam mengatur
kehidupan agar tidak tergelincir daripada landasan kemanusiaan yang murni dan
abadi. Golongan tua biasanya betindak sebagai penunjuk ajar, memberi pengajaran
kepada yang lebih muda dengan harapan tindakan yang dilakukan tidak melampaui
batas – batas kemanusiaan serta dapat berlaku adil, tidak menimbulkan
masalah atau beban kepada golongan masyarakat dibawahnya. Unsur nasihat dan
pengajaran ke arah kebaikan demi kesejahteraan hidup amat jelas melalui
wasiat – wasiat. Malah jenis wasiat amat kaya dengan unsur nasihat dan
pengajaran.
a) Wasiat
pada Raja Mamad (Sultan Mahmud Syah)
“Hei
anakku, adapun engkau hendaklah banyak – banyak sabar dan ampunmu akan segala
hamba sahayamu dan baik – baik memelihara akan dia; kerana firman Allah Taala
serta pada segala yang sabar. Dan jikalau datang kepada dua pekerjaan Allah
daripada pekerjaan dunia. “Hendaklah engkau sangat – sangat menyerahkan
dirimu ke hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu kerana wa man
yatawakkal’ala’Allah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan
olehmu diaifi dia dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah;
kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab, Al – ‘abdi tinu’l – maulana,
yang hamba itu, tanah tuhannya. Jikalau engkau bunuh ia tiada dengan dosanya,
bahawa kerajaanmu binasa. Hei anakku, hendaklah engkau turut dan engkau
ingatkan wasiatku ini dan engkau kerjakan supaya berkat diberi Allah subha na
wa taala.” (Sulalatus Salatin, hlm.186-187)
5 Keimanan
dan Ketakwaan
Sifat
– sifat ini berkait dengan amalan agama Islam. Dengan mengamalkan sifat
ketakwaan manusia akan hidup lebih sempurna. Dalam Sulalatus Salatin, banyak
peristiwa – peristiwa yang berkaitan dengan soal – soal keimanan ini
diceritakan terutama dalam episod – episod seperti:
a) Raja
dam pembesar Melaka menuntut ilmu agama yang datang dari Jeddah. Sultan Mahmud
dan Bendahara Seri Maharaja pernah belajar agama pada Makhdum Sadar Jahan.
b) Kerajaan
Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah telah melaksanakan hukuman
mengikut Islam iaitu hukuman potong tangan kepada mereka yang melakukan
kesalahan mencuri.
c) Raja
– raja Melaka memerintah dengan penuh adil dan saksama sebagai suatu tuntutan
sifat – sifat yang mulia dan terpuji di sisi agama Islam.
Kemanusiaan Yang Negatif
(Ketidakperikemanusiaan)
Tindakan
manusia yang melampaui batas – batas kemanusiaan demi mencapai tujuan dan
tujuan tertentu. Sifat – sifat kejam atau tidak berperikemanusiaan jelas
dilihat daripada tindakan membunuh sama ada demi untuk mencapai tujuan – tujuan
tertentu atau sebagai salah satu hukuman yang dikenakan kerana melanggar undang
– undang dan peraturan.
1 Kekejaman
dan Keganasan
Tindakan
kejam dan ganas sering terjadi dalam mana – mana perlawanan senjata atau dalam
masa pertempuran dan peperangan.
a) Sidi
Asma Yaumi’d – Din dijatuhkan hukuman dipenggal kepala kerana keengganannya
berpisah dengan Sultan Maliku’l – Mansur. Hukuman kejam ini diceritakan dalam
Sulalatus Salatin:
“Maka
oleh Sultan Maliku’t – Tahir disuruhnya kerat kepala Sidi Asma Yaumi’d – Din,
kepalanya dibuang ke laut dan badannya disulakan di kapal Pasai.” (Sulalatus Salatin,
hlm.64)
b) Pertikaman
antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Dalam episod ini, langsung ditunjukkan
bagaimana tidak wujudnya rasa kemanusiaan pada diri Hang Tuah dalam
melaksanakan tugasnya atas titah raja. Sungguhpun Hang Jebat menderhaka kerana
membela kebenaran iaitu membela hukuman tidak adil bagi yang dikenakan ke atas
diri Hang Tuah sendiri, namun Hang Jebat tetap dihapuskan kerana perbuatannya
adalah bersalah di sisi undang – undang zamannya. Sulalatus Salatin
menceritakan:
“…..
maka Hang Jebat pun tertikam pada dinding pintu, lekat kerisnya. Maka segera
ditikam oleh Hang Tuah dari belakangnya terus ke hulu hati.
Maka
kata Hang Jebat, “Hei Tuah! Demikiankah lelaki menikam mencuri dan
mengubah waadnya? Engkau dua tiga kali lekat kerismu, aku suruh tanggalkan
juga; aku sekali lekat kerisku engkau tikam.”
Maka
sahut Hang Tuah, “Siapa bersetia dengan engkau orang
derhaka.”
Maka
ditikam pula seliang lagi, maka Hang Jebat pun matilah. (Sulalatus Salatin,
hlm.142)
2 Sifat
Dendam
Sifat
dendam merupakan suatu sifat yang keji kerana pada kebiasaannya sifat ini membawa
kepada kemusnahan atau tindakan kejam iaitu membunuh. Banyak kejadian bunuh
yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin berpunca daripada perasaan
dendam. Ini jelas daripada pristiwa:
a) Dendam
Sultan Mahmud Syah pada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir kerana tidak
menunjukkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepada baginda sebelum dikahwinkan
dengan Tun Ali. Sultan Mahmud mengetahui bahawa Bendahara mempunyai seorang
anak gadis yang amat cantik setelah menghadiri perkahwinan Tun Fatimah dengan
Tun Ali. Sultan Mahmud amat tertarik apabila melihat kecantikan Tun Fatimah.
Sulalatus Salatin menceritakan:
Baginda
berkata dalam hatinya, “Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah baik
anaknya, tiada ditunjukkan kepada kita.”
Maka
Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanya akan Bendahara Seri Maharaja.
(Sulalatus Salatin, hlm.251)
b) Dendam
Sultan Maliku’t - Tahir pada saudaranya Sultan Maliku’l - Mansur disebabkan
kesilapan Sultan Maliku’l - Mansur mengambil salah seorang dayang istananya
tanpa kebenaran. (Sulalatus Salatin, hlm.63) Ketika kejadian ini berlaku,
Sultan Maliku’t - Tahir dalam perjalanan pulang setelah diselamatkan oleh
pembesar – pembesarnya kerana ditawan oleh Raja Syahru’n Nuwi. Ketika sampai ke
Jambu Air:
“…..
dan khabar Sultan Maliku’l – Mansur pun telah kedengaranlah. Maka Sultan
Maliku’t – Tahir pun menaruh dendamlah kepada hatinya akan adinda baginda,
hingga tiada dikeluarkannya.” (Sulalatus Salatin, hlm.63)
3 Sifat
Cemburu
Perasaan
cemburu merupakan suatu sifat yang akan membawa kepada tindakan di luar batas –
batas kemanusiaan. Perasaan cemburu sering dikaitkan dengan perasaan marah dan
tindakan membalas dendam dibuat secara emosional. Biasanya akan melibatkan
pembunuhan tanpa belas kasihan seperti:
a) Pembunuhan
Tuan Jana Khatib semasa pemerintahan Paduka Seri Maharaja, zaman kerajaan
Singapura adalah disebabkan oleh rasa cemburu membabi buta. Ketika Tuan Jana
Khatib lalu di hadapan istana, Raja Perempuan berada di pintu peranginan. Tuan
Jana Khatib menunjukkan keahliannya dalam menilik pohon pinang hingga pohon
pinang itu terbelah dua. Kejadian ini dilihat oleh Paduka Seri Maharaja. Timbul
rasa cemburu kerana menganggap perbuatan Tuan Jana Khatib cuba menarik
perhatian Raja Perempuan. Tuan Jana Khatib disuruh bunuh. (Sulalatus Salatin,
hlm.67)
b) Perasaan
cemburu gundik – gundik Raja Iskandar zaman kerajaan Singapura terhadap gundik
kesayangan raja iaitu anak kepada Sang Rajuna Tapa. Perasaan cemburu yang
meluap – luap akhirnya membawa kepada usaha memusnahkannya. Timbul fitnah yang
mengatakan bahawa gundik kesayangan raja berbuat jahat. Raja Iskandar sangat
marah. Tanpa usul periksa, ia dijatuhkan hukuman sula di hujung pasar. Hukuman
ini menyebabkan Sang Rajuna Tapa menanggung malu:
“Jika
sungguh sekalipun anak hamba berbuat jahat, bunuh ia, mengapakah diberi malu
demikian?” (Sulalatus
Salatin, hlm.69)
4 Menyebabkan
Fitnah
Fitnah
timbul bersabit dengan iri hati, dengki dan cemburu dengan kelebihan dan
kebolehan orang lain. Salah satu cara yang paling singkat untuk membalas sakit
hati dengan tujuan memusnahkan orang yang dengki ialah dengan mengadakan
fitnah. Seringkali yang tidak bersalah menjadi mangsa. Hukuma yang diterima
amat kejam dan menyeksakan iaitu hukuman bunuh atau sula. Unsur fitnah jelas
dalam Sulalatus Salatin, antaranya:
a) Fitnah
yang dibawa oleh Raja Mendeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan yang terlibat
menyampaikan berita kepada Sultan Mahmud bahawa Bendahara Seri Maharaja Tun
Mutahir hendak menderhaka. Laksamana Khoja Hassan turut terlibat apabila ia
disogokkan dengan harta emas yang banyak. Kitul pula menyampaikan berita kepada
Raja Mendaliar dan mendapat habuan lumayan, iaitu hutang – hutangnya
dilangsaikan. Manakala, Sultan Mahmud pula setelah mendengar berita tersebut
diibaratkan “orang mengantuk di sorong bantal.” (Sulalatus
Salatin, hlm.275). Baginda telah lama menaruh dendam pada Bendahara kerana
tidak menunjukkan anaknya Tun Fatimah sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali. Lebih
– lebih lagi perasaan berahi sultan pada Tun Fatimah begitu meluap – luap.
Fitnah Raja Mendeliar berhasil. Seluruh keluarga Bendahara dihukum bunuh
kecuali Tun Fatimah. Sudah tidak ada pertimbangan dan rasa kemanusiaan lagi
dalam diri Sultan Mahmud. Mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa
keganasan dan kebuasannya. Ini semua berpunca daripada angkara fitnah.
b) Fitnah
pembesar negeri yang menaruh perasaan dengki dan cemburu kepada kebolehan dan
keistimewaan yang diberikan oleh Sultan Mansur Syah pada Hang Tuah. Hang Tuah
telah difitnahkan berkehendak dengan salah seorang dayang raja. Tanpa berfikir
panjang dan tanpa menyiasat terlebih dahulu, Sultan mengeluarkan perintah
menghukum Hang Tuah yang begitu berjasa kepada Melaka. Dalam keadaan marah,
tidak ada lagi pertimbangan baik buruknya hukuman itu sungguhpun Seri Nara
Diraja cuba menasihatkan baginda agar Hang Tuah jangan dihukum bunuh kerana dia
pahlawan yang gagah berani. Sultan tetap dengan keputusannya.
NILAI
- NILAI MURNI
1. Keberanian
Watak
Tun Husin yang merupakan anak kepada Tun Perpatih Hitam. Tun Husin yang berani
menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah bapanya Tun Perpatih Hitam. Contohnya,
Tun Husin sanggup dan berani berlawan dengan Laksamana demi mempertahankan
bapanya daripada dibunuh oleh Laksamana. Tun Husin sanggup berlawan dengan
Laksamana walaupun dia tahu bahawa dia akan mati di tangan Laksamana.
2. Kesetiaan
Watak
Laksamana dan Temenggung yang sentiasa ada dengan Bendahara Melaka ke mana
sahaja Bendahara pergi. Laksamana dan Temenggung sangat setia dengan Bendahara.
Mereka sanggup membunuh demi mempertahankan dan meenjaga keselamatan Bendahara.
Contohnya, mereka sanggup membunuh Tun Husin dan Tun Perpatih Hitam demi
menjaga keselamatan Bendahara Melaka itu. Bagi mereka, Bendahara merupakan
orang yang penting di Melaka pada ketika itu.
3. Bertanggungjawab
Contoh: Tun
Mutahir, Bendahara Melaka menjalankan tanggungjawabnya sebagai bendahara dengan
baik sekali. Dirinya disenangi oleh rakyat Melaka kerana sikapnya yang baik dan
menjaga hal ehwal orang dagang.
4. Kasih - Sayang
Contoh: Walaupun
Sultan Mahmud Syah berkeinginan untuk memiliki Puteri Gunung Ledang dan
mengutuskan Laksamana Hang Tuah untuk mendapatkan Puteri Gunung Ledang buatnya
untuk dijadikan isteri. Namun, untuk mendapatkan Puteri Gunung
Ledang baginda perlu memenuhi permintaannya. Namun, kesemua yang
disenaraikan dapat dituruti kecuali semangkuk darah anak baginda tidak dapat
dipenuhi. Jelaslah baginda sangat menyayangi anaknya demi cinta baginda
terpaksa ketepikan rasanya itu.
5. Bijaksana
Kebijaksanaan
penting dalam kepimpinan. Kebijaksanaan pemimpin mampu menjadikan sesebuah negeri
itu lebih maju daripada yang lain. Hal ini dapat dilihat dalam kisah serangan
Siam ke atas Melaka. Siam berniat untuk menyerang Melaka tetapi dengan
kebijaksanaan Tun Perak, Siam telah tewas. Tun Perak menyuruh supaya memasang
obor sekeliling pokok dan apabila tentera Siam datang, mereka terpedaya dengan
menyangkakan bahawa tentera Melaka terlalu ramai.
6. Nilai Menghormati Tetamu.
Nilai
ini merupakan satu nilai yang wajar diterapkan dalam kalangan pemimpin. Dalam
urusan negara dan politik , hubungan sesama ahli negara atau pemerintah
haruslah dijaga dengan baik. Sultan Mahmud Syah menghormati tetamunya iaitu
Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah. Baginda melayani tetamu dengan baik iaitu
memberikan tempat tinggal dalam negeri dan mengahwinkan saudaranya dengan
Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah.