Thursday, 29 March 2018

SINOPSIS



EPISOD 1
Cerita bermula pada zaman Raja Iskandar Zulkarnain. Baginda telah pergi ke negeri Hindi. Nama rajanya ialah Raja Kida Hindi. Setelah sampainya Raja Iskandar ke negeri Hindi, mereka bertarung dan Raja Kida Hindi tewas. Raja Kida Hindi telah masuk Islam dan anaknya iaitu puteri Syahr al-Bariyah telah dikahwinkan dengan Raja Iskandar Zulkarnain. Setelah berkahwin, Raja Iskandar Zulkarnain telah menetap di negeri Hindi. Tidak lama selepas itu,  puteri Syahr al-Bariyah telah hamil anak Raja Iskandar Zulkarnain sehingga membawa kepada keturunan Kudar Syah Jahan dan Raja Suran Padsyah.

EPISOD 2
Seterusnya, kisah bermula di Benua Keling. Nama negerinya, Naga Patam dan rajanya bernama Raja Syulan. Segala raja-raja di negeri bawah angin berjaya ditakluki dan dikalahkan. Raja Syulan telah sampai ke sebuah negeri Gangga Syah Nagara. Nama rajanya ialah Raja Linggi Syah. Mereka pun lalu bertarung. Raja Linggi Syah ingin memanah Raja Syulan tapi panahnya mengena gajah Raja Syulan. Raja Syulan melompat dan memarang kepala Raja Linggi Syah hingga putus kepalanya dan mati. Selepas itu, Raja Syulan telah pergi ke Langkawi dan raja di situ bernama Raja Culin. Mereka bertarung sesama sendiri dan kedengaran bunyi gemerincing segala senjata. Raja Culin telah membaling lembing ke arah Raja Syulan tetapi tidak mengena. Setelah itu, Raja Syulan telah membaling lembing tepat ke dada Raja Culin lalu mati. Raja Culin mempunyai seorang anak yang sangat cantik bernama puteri Onang Kiu dan Raja Syulan telah berkahwin dengannya. Mereka dikurniai seorang puteri yang cantik bernama Tuan Puteri Cendani Wasis. Tuan Puteri Cendani Wasis telah berkahwin dengan Raja Suran Padsyah dan beranak tiga orang anak lelaki iaitu Raja Ciran yang memerintah Cenderagiri Nagara, Raja Culan diambil oleh neneknya dan Raja Pandaian yang memerintah Naga Patam.

EPISOD 3
Setelah Raja Syulan mangkat, cucu baginda Raja Culan yang menggantikan pemerintahannya. Raja Culan bercadang untuk menyerang negeri China.  Raja Culan telah berjalan sehingga ke Temasik. Perdana Menteri China telah mendapat idea untuk menipu Raja Culan. Jarum, pohon kesmak, pohon bidara dan buah-buahan yang sudah berbuah ditanam di atas pilu dan dipilih orang tua-tua yang tiada gigi disuruh belayar ke Temasik. Perdana Menteri China itu ingin memperdayakan Raja Culan tentang betapa jauhnya negeri China sehingga orang muda menjadi tua, buah yang ditanam sudah berbuah, besi yang dibawa sudah menjadi haus. Apabila mendengar tentang perkara itu, Raja Culan pun tidak jadi untuk menyerang negeri China.
Selepas itu, Raja Culan ingin mengetahui tentang isi lautan. Baginda telah masuk ke dalam sebuah peti dan sampai ke sbuah negeri bernama Dika. Maka Raja Culan keluar dari peti itu dan melihat kaum bernama Barsam. Raja di situ bernama Raja Aftab al-Ard. Raja tersebut mempunyai seorang puteri bernama Tuan Puteri Mathab al- Bahri. Maka puteri itu berkahwin dengan Raja Culan. Mereka dikurniai tiga orang putera. Raja Culan menitahkan supaya apabila puteranya sudah dewasa, mereka harus dihantar keluar ke dunia.
Tersebutlah sebuah negeri di tanah Andalas bernama Palembang. Nama rajanya, Demang Lebar Daun. Suatu hari, di bukit Seguntang Mahameru tinggal dua orang perempuan yang berhuma bernama Uwan Empuk dan Uwan Malini. Mereka berdua ternampak nyalaan seperti api di atas bukit. Mereka telah naik ke Bukit Seguntang itu dan melihat padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatang tembaga suasa. Uwan Empuk dan Uwan Malini melihat tiga pemuda di atas gajah putih dan mereka menyatakan mereka keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Uwan Empuk dan Uwan Malini akhirnya menjadi kaya sebab mendapat anak raja itu. Demang Lebar Daun mendapat tahu tentang berita tersebut  dan membawa mereka ke negerinya. Anak Raja yang paling tuadirajakan di Minangkabau di atas kerajaan Sang Seperba. Yang kedua dirajakan di Tanjung Pura di atas kerajaan Sang Maniaka. Yang bongsu tinggal di Palembang di atas kerajaan Sang Uratama.
            Terdapat seekor lembu putih yang memuntahkan buih dan keluar seorang manusia bernama Bat dan digelar Seri Teri Buana. Ketika itu, sesiapa yang berkahwin dengan Seri Teri Buana akan terkena penyakit kedal. Demang Lebar Daun mempunyai seorang puteri bernama Tuan Puteri Uwan Sundari. Seri Teri Buana ingin berkahwin dengan puteri DemanG Lebar Daun tetapi harus berwa'ad terlebih dahulu. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Hendaklah perbaiki anak cucu tuan hamba dan jika ia berdosa besar, jangan dinista dengan kata-kata jahat, jikalau besar dosanya, bunuhlah itu pun jika patut pada hukum syar'i.” Seri Teri Buana pula menyatakan “Hendaklah pada akhir zaman nanti, anak cucu bapa jangan derhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat mana sekalipun.” Maka Seri Teri Buana pun berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun itu. Setelah berkahwin, puteri Uwan Sundari tidak terkena penyakit kedal.
Seri Teri Buana pun pergi belayar dan hal ini diketahui oleh raja perempuan di Bentan bernama Uwan Seri Beni. Seri Teri Buana telah diambil sebagai anak angkat oleh Uwan Seri Beni dan dinobatkan sebagai raja di Bentan. Seri Teri Buana telah bermain ke padang di kualaTemasik. Maka dilihat seekor binatang yang tangkas lakunya. Setelah dilihat banyak orang, maka ia lenyap. Seri Teri Buana ingin berbuat negeri dan dinamakan Singa Pura. Setelah beberapa lamanya, Seri Teri Buana dan Demang Lebar Daun mangkat. Anakandanya yang menggantikannya di atas kerajaan iaitu Paduka Seri Pikrama Wira. Hatta,  Paduka Seri Pikrama Wira pun mempunyai seorang anak bernama Raja Muda dan Singa Pura menjadi negeri yang besar.

EPISOD 4
Tersebutlah kisah Betara Majapahit yang mendengar Singa Pura sebuah negeri yang besar. Maka baginda menyuruh utusan menghantar sekeping tatal, tujuh depa panjangnya, ditarah tiada putus, nipis seperti kertas dan digulung seperti subang. Setelah sampai ke Paduka Seri Pikrama Wira, baginda memanggil seorang karangan bernama Sang Bentan dan disuruh menarah kepala kanak-kanak. Paduka Seri Pikrama Wira berbuat seperti itu untuk membuktikan bahawa orang Singa Pura pandai menarah tatal. Lalu Singa Pura dan Jawa bertarung dan akhirnya Singa Pura menang.

EPISOD 5
Seterusnya, tersebutlah kisah anak Raja Culan iaitu Adiraja Rama Mendeliar. Maka Paduka Seri Pikrama Wira ingin mengahwinkan anaknya Raja Muda dengan Tuan Puteri Talla Puncadi iaitu anak Raja Benua Keling itu. Setelah itu, maka  Paduka Seri Pikrama Wira pun mangkat. Raja Muda beranak dengan  Tuan Puteri Talla Puncadi dua orang anak seorang lelaki dan seorang perempuan.
Baginda Seri Rana Wikrama ada seorang hulubalang bernama Badang. Badang sentiasa kehilangan ikan di dalam lukahnya. Suatu hari, Badang telah mengintai pencuri ikannya. Dia terkejut apabila melihat hantu bermata merah yang selalu mencuri ikannya. Badang memegang janggut hantu tersebut dan ingin membunuhnya. Hantu itu menawarkan permintaan kepada Badang. Badang meminta untuk menjadi kuat. Badang harus makan muntah hantu tersebut untuk menjadi kuat. Setelah menjadi kuat, Badang telah dimerdekakan oleh tuannya. Badang telah menjadi hulubalang raja. Setelah kedengaran ke Benua Keling tentang kekuatan Badang, seorang pahlawan terlalu gagah ingin berlawan dengan Badang. Mereka berlawan mengangkat batu dan akhirnya pahlawan Benua Keling itu kalah dan Badang dapat ketujuh buah kapal dan segala isinya. Raja Perlak telah mengutus Benderang untuk berlawan dengan Badang. Benderang telah duduk di sebelah Badang dan meletakkan pahanya di atas paha Badang. Kemudian Badang pula telah menindih paha Benderang tiada terangkat olehnya. Tidak lama kemudian, Benderang pun kembali ke Perlak kerana tahu dia tidak mampu berlawan dengan Badang. Seberapa lamanya akhirnya, Badang mati.

EPISOD 6
Tersebutlah kisah tentang Raja Pasyai. Terdapat dua orang pemuda bernama Marah Jaga dan Marah Silu. Marah Silu merebus gelang-gelang itu menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Apabila didengar oleh Marah Jaga, ingin dibunuhnya. Marah Silu pun lari ke rimba Jeran. Suatu hari, Marah Silu melihat seekor semut sebesar kucing. Maka dinamai tempat itu Sanudera. Rasulullah SAW bersabda untuk mengislamkan negeri Samudera. Maka setelah sampai ke Samudera, Marah Silu telah diislamkan maka ia bermimpi berpandangan dengan Rasulullah SAW. Setelah siang hari, Marah Silu tahu membaca Al-Quran. Marah Silu telah dirajakan dan dinamakan Sultan Malik al-Saleh. Adapun orang yang besar-besar dua orang dinamai Sidi Ali Ghiatuddin dan Sidi Samayuddin.
Sultan Malik al-Saleh telah meminang anak Raja Perlak iaitu Puteri Genggang. Mereka dikurniai dua orang putera dan penjaga mereka bernama Sultan Malik al-Zahir (Sidi Ali Ghiatuddin) dan Sultan Malik al-Mansur (Sidi Samayuddin). Suatu hari, Sultan Malik al-Saleh telah menemui tempat untuk berbuat negeri dinamakan Pasai. Maka anakandanya Sultan Malik al-Zahir dirajakan di Pasai. Setelah berapa lamanya Sultan Malik al-Saleh pun mangkat dan anakandanya, Sultan Malik al-Mansur yang menggantikannya. Sidi Ali Ghiatuddin dan  Sidi Samayuddin berjanji untuk sentiasa setia kepada raja mereka. Maka diceritakan tentang Raja Syahr Nuwi yang memerintahkan Awi Dicu menangkap Raja Samudera. Setelah berjaya menangkap Raja Samudera, baginda dijadikan pengembala ayam. Sidi Ali Ghiatuddin muafakat di negeri Pasai dan belayar ke negeri Syahr Nuwi. Sidi Ali Ghiatuddin telah memberikan banyak harta untuk mendapatkan semula Raja Samudera dan akhirnya dia berjaya.
            Suatu hari, Sultan Malik al-Mansur ingin berjumpa dengan abangnya. Baginda pun jatuh cinta dengan gundik abangnya. Hal ini membuatkan abangnya murka dan menangkap Sultan Malik al-Mansur dan dibawa ke Manjung. Sidi Samayuddin telah dibunuh dan kepalanya di gantung di hadapan kapal. Seberapa selepas itu, Sultan Malik al- Zahir menyesal dengan perbuatannya terhadap adiknya hanya kerana seorang perempuan.Sultan Malik al-Zahir ingin meminta maaf kepada adiknya tetapi Sultan Malik al-Mansur telah mangkat di sisi kubur Sidi Samayuddin. Tidak alama selepas itu, Sultan Malik al-Zahir pun mangkat dan baginda digantikan oleh anakandanya Sultan Ahmad.
Kisah bermula dengan seorang hamba Allah bernama Tun Jana Khatib di Pasai. Dia telah pergi ke Singa Pura.Tun Jana Khatib telah menilik sebatang pinang di istana menjadi dua batang dan hal ini telah dilihat oleh puteri. Perkara ini membuatkan Paduka Seri Maharaja murka dan membunuh Tun Jana Khatib. Setelah berapa lama, todak telah menyerang Singa Pura. Ramai orang yang mati kerana raja menitahkan rakyat berkotakan betis. Tidak lama kemudian, datang idea daripada seorang budak untuk berkotakan batang pisang dan todak tidak menyerang lagi. Budak yang memberikan idea itu dibunuh kerana takut akan merebut kuasa raja apabila dewasa kelak.  Selepas Paduka Seri Maharaja mangkat, anakandanya Seri Sultan Iskandar Syah di atas kerajaan.
Sultan Iskandar Syah murka pada seorang gundik iaitu anak kepada bendahara iaitu Sang Rajuna Tapa. Anak Sang Rajuna Tapa dimalukan dan telah berkirim surat ke Jawa untuk membantu menyerang Singa Pura. Setelah Singa Pura kalah dengan Jawa, Sultan Iskandar pun pergi ke Muar dan akhinya tiba di Bertam. Baginda melihat peristiwa seekor pelanduk menendang anjing buruannya. Baginda ingin berbiat negeri di situ dan menamakan negeri itu Melaka. Setelah Sultan Iskandar Syah mangkat, anakandanya Raja Kecil Besar dijadikan raja digelar Sultan Mahkota. Sultan Mahkota telah berkahwin dengan anak bendahara dan mendapat tiga orang anak bernama Raden Bagus, Raja Tengah dan Raden Anum. Raja Tengah telah menggantikan tempat ayahandanya. Suatu malam, baginda bermimpi berpandangan elok dengan Rasulullah SAW dan pada siangnya kalamnya sudah khatan. Seorang makhdum bernama Sidi Abdul Aziz telah mengislamkan baginda dan bergelar Sultan Muhammad Syah. Baginda sangat adil dalam memelihara rakyatnya.

EPISOD 7
Seterusnya kisah di Benua Keling dan nama rajanya Nizam al-Muluk Akbar Syah. Baginda mempunyai dua orang anak bernama Mani Purindan dan Raja Akbar Muluk Padsyah. Oleh kerana Mani Purindan merasakan tiada orang yang mendengarkan cakapnya, maka dia tidak layak menjadi raja. Lalu dia pun bercadang untuk pergi ke Melaka. Sewaktu belayar kapalnya tenggelam dan diselamatkan oleh ikan aluh-aluh dan pohon gandasuli. Mani Purindan telah berkahwin dengan Tun Ratna Sundari. Sultan Muhammad Syah telah berkahwin dengan Raja Rokan dan mendapat putera bernama Raja Ibrahim. Maka dengan anak bendahara mendapat seorang anak bernama Raja Kasim. Raja Ibrahim lebih disayangi oleh baginda kerana pengaruh Raja Rokan. Selepas mangkatnya Sultan Muhammad Syah, Raja Ibrahim menggantikan ayahandanya dengan gelaran Sultan Abu Syahid.
            Raja Rokan bertindak seperti pemerintah kerana anaknya masih lagi kecil dan hal ini membuatkan ramai yang tidak suka. Raja Kasim disuruhnya mengail ikan. Suatu hari, seorang maulana bernama Maulana Jalaluddin menyuruh Raja Kasim untuk pulang ke darat sebagai balasan, maulana tersebut inginkan Raja Rokan. Raja Kasim mendapat bantuan dari Seri Nara al-Diraja. Berlaku pergelutan semasa Raja Kasim ingin menikam Raja Rokan kerana dia tidak mahu melepaskan anakandanya Raja Ibrahim. Raja Kasim menikam Raja Rokan dan Raja Rokan menikam Raja Ibrahim yang pada waktu itu berumur 1 tahun 5 bulan. Raja Kasim telah menggantikan adiknya dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Seorang gundik telah diberikan kepada Maulana Jalaludin sebagai pengganti Raja Rokan. Tersebut kisah Bendahara Seriwa Raja yang sangat dikasihi sultan menyangka bahawa Sultan murka akan dirinya lalu dia makan racun. Bendahara mempunyai tiga orang anak Tun Kudu yang dikahwini Sultan Muzaffar Syah, Tun Perak yang menjadi penghulu di Kelang dan Tun Perpatih Putih.

EPISOD 8
Tersebutlah kisah Raja Siam iaitu Syahr Nuwi yang ingin menyerang Melaka. Tun Perak telah memberikan idea untuk membawa anak isteri turut berperang menyerang Siam supaya pahlawan-pahlawan bersungguh-sungguh semasa berperang. Maka, Siam pun kalah. Tun Perak telah menjadi Paduka Raja kerana kebijakan yang dimilikinya. Seterusnya kisah telah perselisihan faham antara Paduka Raja dan Seri Nara al-Diraja. Sultan Muzaffar Syah telah menceraikan Tun Kudu dan dia telah dikahwinkan dengan Seri Nara al-Diraja supaya perselisihan dua pembesar tersebut dapat dihapuskan.
            Paduka Raja telah menjadi Bendahara Paduka Raja. Suatu hari, Melaka diserang lagi oleh Siam diketuai oleh Awi Dicu. Bendahara Paduka Raja mengarahkan semua pohon bakau, nyirih, tumu dan api-api ditambati dengan puntung api. Hal ini untuk memperdaya orang Siam bahawa Melaka mempunyai ramai tentera. Maka, Awi Dicu pun tidak jadi menyerang Melaka. Selepas itu, ada seorang Siam yang bernama Cau Pandan ingin menyerang Melaka. Terdapat seorang Sidi yang pandai memanah. Lalu dipanahnya dengan mengatakan “ Sudah Mati Cau Pandan”. Cau Pandan yang pada ketika itu berada di Siam muntahkan darah lalu mati. Oleh sebab itu, Siam tidak jadi menyerang Melaka.
Untuk memperbaiki hubungan dengan Siam, Sultan mengarahkan Tun Telanai ke Benua Siam. Raja Siam menanyakan kepada Tun Telanai mengapa Melaka tidak pernah kalah kepada Siam. Tun Telanai mengatakan orang Melaka semuanya kebal. Paduka Bubunnya pergi menyerang negeri hampir dengan negeri Siam. Tun Telanai yang tahu bahawa dia akan kalah mendapat idea untuk mengubah tempat dengan mengatakan orang Islam tidak boleh berperang mengadap matahari mati. Maka diberi oleh Phra Cau pada tempat yang lain, menghadap ke matahari hidup. Oleh kerana kebijakan tersebut, Melaka telah menang dalam peperangan itu. Setelah 40 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun mangkat diganti oleh anakandanya, Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah sangat adil dan baik paras rupanya.

EPISOD 9
Menceritakan tentang kehilangan anak Raja Tanjung Pura yang dihanyutkan ke dalam air akibat dilanda  ombak besar.  Raden Perlangu namanya. Akibat dari peristiwa itu dia dijumpai oleh sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Jadi mereka mengambil Raden Perlangu sebagai anak angkat mereka dengan memberi nama Ki Mas Jiwa. Disebabkan bapa angkat keppada Ki Mas Jiwa ini adalah penyadap kampung jadi dia berkeinginan untuk menjadi Patih Aria Gajah Mada apabila Ki Mas Jiwa diangkat menjadi Betara Maja Pahit.
Manakala, anak Betara Maja Pahit iaitu Puteri Naya Kesuma telah memegang tampuk pemerintahan. Patih Gajah Mada mencadangkan kepada Puteri Naya Kesuma untuk berkahwin. Puteri Naya Kesuma bersetuju dengan cadangan itu tetapi dengan bersyarat lelaki diseluruh kampung dibawa kepadanya supaya dia boleh memilih mengikut citarasanya sendiri. Setelah dikumpulkan, Puteri Naya Kesuma berkenan dengan Ki Mas Jiwa dan mereka pun berkahwin, dan melahirkan anak bernama Raden Galuh Cendera Kirana. Kecantikan rupa parasnya mashyur sehingga ke Melaka sehingga Sultan Masur Syah terpikat dan menyuruh Tun Bijaya Sura menjadi ketua kepada rombongannya ke Majapahit untuk meminangkan Puteri Galuh Cendera Kirana buatnya.
            Setelah datang rombongan dari Melaka, gempar kawasan istana apabila orang Jawa ditikam oleh Hang Kasturi dan Hang Jebat. Mereka ditikam kerana Hang Kasturi dan Hang Jebat naik ke atas balai. Setelah diketahui oleh Betara Maja Pahit, baginda membiarkan mereka duduk di atas balai larangan. Di dalam episod ini turut diceritakan tentang kegagahan Laksamana Hang Tuah, kerana ke mana sahaja dia pergi akan menarik perhatian orang. Sehinggalah ada isteri yang sanggup meninggalkan suami dan rumah semata-mata untuk melihat Hang Tuah. Terdapat juga kisah Hang Tuah yang dipasung oleh bendahara Seri Nara al-Diraja oleh bendahara dibawah arahan Sultan Mansur Syah. Tetapi, bendahara tidak memasungkan Hang Tuah tetapi dia menyembunyikan Hang Tuah di satu dusun. Akibat perbuatan jahat dari Hang Kasturi dia dibunuh oleh Hang Tuah demi menyelamatkan negeri Melaka.
            Sultan Mansur Syah mengutuskan bendaharanya Tun Perpatih Putih ke Benua China. Suratnya dihantarkan ke perdana menteri China, Li Po. Setelah diberitahu kepada Raja China, semua orang tunduk dan tidak berani menghadap ke muka Raja China yang sedang kelihatan duduk di dalam mungkur kaca dalam mulut naga. maka, ditanya oleh Raja China kepada bendahara apa kegemaran orang Melaka, dijawab oleh Tun Perpatih Putih bahawa kegemaran orang Melaka adalah kangkung yang dimakan panjang-panjang tanpa dipotong. Akibatnya, mereka dapat melihat Raja China di dalam mungkur kaca. Akhir, Sultan Mansur Syah berkahwin dengan anak Raja China bernama, Puteri Hang Lui setelah masuk islam.

EPISOD 10
Maka disebutlah perkataan Raja Benua China. Setelah utusan mengantarkan puteri anak Raja China dengan Tun Perpatih (Putih) itu kembali maka surat Raja Melaka pun diaraknya. Dibaca dan diketahuinya maka raja pun terlalu sukacita mendengar Raja Melaka berkirim sembah padanya. Raja China pun sakit, lalu kedal semuanya tubuh baginda. Maka Raja China pun menyuruh memanggil tabib meminta ubat. Maka diubati oleh tabib itu, tiada juga sembuh. Maka beberapa ratus tabib disuruh Raja China mengubat diri baginda, tiada juga sembuh. Maka kata seorang tabib, “Ya tuhanku, adapun penyakit kenohong ini tiada akan terubat oleh patik sekalian kerana penyakit ini bersebab”. Ditanya Raja China, “apa sebabnya?”. Sembah tabib “ Tuanku, oleh-oleh Raja Melaka berkirim sembah-itulah tuanku, jikalau tiada air basuh kaki Raja Melaka tuanku santap (minum) dan tuan permandi tiada akan sembuh penyakit tuanku ini.” Maka baginda menitahkan utusan ke Melaka minta air basuh kaki Raja Melaka. Akhir, air basuh kaki Sultan Mansur Syah itu pun diarak oranglah, dibawa oranglah masuk kepada Raja China. Lantas air basuhan kaki itupun disantap dan dibuat mandi.

EPISOD 11
Episod ini  mengisahkan tentang peperangan menentang Siak yang disuruh oleh Sultan Mansur Syah, kerana dahulunya Siak ini sebuah negeri besar, rajanya daripaa anak cucu Raja Pagar Ruyung, asalnya dari Sang Seperba, yang turun daripada Bukit Seguntang Mahameru. Jadi Seri Awadana dititahkan untuk mengetuai peperangan ini bersama-samanya turut terdapat enam puluh hulubalang beserta Sang Jaya Pikrama dan Sang Surana. Bermula Maharaja Peri Sura berdiri di kepala kota mengerahkan segala rakyat berperang. Setelah dilihat oleh Khoja Baba maka segera dipanahnya, kena dada Maharaja Peri Sura, terus. Maka Maharaja Peri Sura pun matilah. Setelah rakyat Siak melihat rajanya sudah mati maka segala rakyat Siak pun pecahlah, lalu lari cerai. Maka kota pun dibelah oleh orang Melaka, dimasukinya sekali. Maka orang Melaka pun merampaslah barang-barang di dalam negeri itu.
Raja  Muhammad dan Raja Ahmad adalah anak Sultan Mansur Syah, kasadnya diberikan kepada Raja Muhammad untuk menggantikan tempatnya kerana baginda amat mengasihi Raja Muhammad. Lalu Raja Ahmad dan Raja Muhammad pergilah bermain kuda, ketika itu Tun Besar sedang bermain sepak raga, kena destar Raja Muhammad, jatuh. Disebabkan destarnya jatuh orang menikam Tun Besar. Maka gemparlah orang di dalam negeri akan hal itu. Maka bendahara pun keluar bertanya apa sebabnya maka orang gempar itu. Disahut orang “anakanda sudah mati dibunuh oleh Raja Muhammad”. Kerana peristiwa itu Sultan Mansur Syah terlalu murka dan baginda menyuruh memanggil Raja Muhammad. Setelah Raja Muhammad datang maka Sultan Mansur Syah pun terlalu muka akan Raja Muhammad, terlalu sangat tiada dapat dikatakan.

EPISOD 12
Maka titah Sultan Mansur Syah, “ kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang. Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.” Akan titah puteri, “ Jikalau Raja Melaka hendak akan daku buatkanlah aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang. Akan peminangannya hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air pinang muda setempayan air mata setempayan, darah raja semangkuk dan darah anak raja semangkuk. Jika demikian maka kabullah pada hamba akan kehendak Raja Melaka itu.”
            Maka titah Raja Melaka, “ semuanya dapat kita adakan, tetapi akan mengeluarkan darah anak kita itulah yang tiada dapat kita adakan, kerana tidak sampai hati”.

EPISOD 13
Sultan Pasai, Sultan Zainal Abidin nama rajanya adapun akan Raja Pasai itu dua bersaudara, yang muda hendak merebut kerajaan abangnya. Maka segala orang Pasai pun sertalah derhaka hendak membunuh rajanya. Maka Sultan Pasaipun larilah berperahu kecil, lalu ia ke Melaka meminta perlindungan daripada Sultan Mansur Syah. Namun, Sultan Zainal Abidin dihantar semula ke Pasai oleh Sultan Mansur Syah. Berperanglah antara orang Melaka dan rakyat Pasai. Akhirnya, Sultan Zainal Abidin ditabalkan diam di Pasai.

EPISOD 14
Bab ini menceritakan tentang politik dan pentadbiran kerajaan Champa. Dimana tampok pemerintahannya bertukar-tukar mengikut generasi, bermula dengan Raja Champa sehinggalah ke zaman diambilalih oleh Sultan Mansor Syah apabila rajanya mangkat diganti oleh Sultan Alaudin Ri’ayat Syah. Malah, turut diceritakan tentang kepimpinan Sultan Alaudin Riayat Syah akan masalah negerinya apabila sering dimasuk pencuri. Baginda sendiri yang menangkap 5 orang pencuri itu, dibantu oleh Seri Maharaja, Hang Isak dan Hang Siak.

EPISOD 15
Bab ini masih mengisahkan berkisar tampok pemerintahan raja-raja Melaka. Maharaja al-Diraja mengutuskan Raja Pahlawan ke Pasai. Surat yang diutus oleh Maharaja al-Diraja   disampaikan oleh orang dengan tafsiran yang salah. Malah, menambah kemarahan kepada Raja Pahlawan sehingga dia mengamuk, banyak yang mati. Setelah itu, Maharaja al-Diraja menitahkan hulubalang Pasai, Seri Indera untuk merosakkan segala jajahan Melaka. Maka berperanglah antara Haru dan Melaka di sempadan laut Tanjung Tuan, dikepalai oleh Seri Nara al-Diraja. Tetapi berjaya dikalahkan oleh orang Melaka. Berita ini menyebabkan Maharaja al-Diraja marah. Manakala, berita perkhabaran tentang kemenangan Melaka menyebabkan Sultan Alauddin bersukacita. Malah, baginda mengutuskan Seri Nara al-Diraja bersama-sama dengan Sang Setia, Sang Naya, dan Sang Guna menyerang Kampar. Dan sekali lagi baginda sukacita apabila mereka berjaya kalahkan Kampar. Akhirnya Sultan Alauddin mangkat dan yang menggantikan tempat baginda ialah Sultan Mahmud Syah, terlalu baik sikapnya. Malah, terdapat banyak kisah berkisarkan pentadbiran baginda memimpin kerajaan Melaka.

EPISOD 16
Episod ini mengisahkan tentang bendahara dimana Sultan Mahmud Syah memilih orang untuk dijadikan sebagai bendahara Melaka. Antaranya, Tun Zainal Abidin, Tun Telanai, Paduka Tuan, Seri Nara al-Diraja, Seriwa Raja, Seri Maharaja, Abu Sa’id, dan Tun ‘Abdul, Tun Bijaya Maha Menteri. Maka, baginda mempersetujui percalonan oleh bonda baginda bahawa Tun Mutahir atau Seri Maharaja menjadi bendahara Melaka. Penjawatan bendahara sungguh tepat kerana negeri Melaka kian makmur kerana Seri Maharaja terlalu adil dan senang. malah, rakyat Melaka sangat kasih akan bendahara Tun Mutahir. Turut diceritakan tentang perjanjian yang dianggap janji oleh Patih Adam dan Seri Nara al-diraja ketika Patih Adam masih kecil. Katanya, apabila Patih Adam besar dia mahu kahwinkan anaknya Tun Minda dengan Patih Adam. Tetapi, apabila Patih Adam sudah besar dan datang kepadanya untuk menuntut apa yang telah diperkatakan dikatakan oleh Seri Nara al-Diraja bahawa itu hanya gurauan. Oleh itu,Patih Adam terlalu marah dan berniat untuk merogol Tun Minda, sehingga orang datang mahu membunuh dan menangkap Patih Adam, dia bertindak untuk turut membunuh Tun Minda jika dia dibunuh. Akhirnya, Seri Nara al-diraja membuat keputusan untuk mengahwinkan anaknya dengan Patih Adam. Tun Mutahir – kepimpinan yang adil, bijak dalam kepimpinan dengan menjaga segala dagang, terlalu baik kepada semua orang, disayangi oleh rakyat.

EPISOD 17
Sultan Mahmud memberi banyak anugerah kepada Raja Kedah. Bendahara Seri Maharaja pun makanlah seorang diri. Ianya adalah kerana “adat Bendahara Melaka tidak makan bersama – sama dengan orang lain. Setelah sudah Bendahara makan, barulah orang lain boleh makan”. Sesudah Bendahara Seri Maharaja selesai memakan sirih itu , sisa – sisa sirih itu dihabiskan oleh Tun Hasan Temenggung dan Raja Kedah. Raja Kedah memohon untuk pulang setelah lama baginda di Melaka maka Sultan Mahmud pun menganugerahkan nobat dan persalinan diraja. Tun Perpatih Hitam mempunyai seorang anak yang bernama Tun Husin terlalu baik sikapnya. Tun Husin akan mengamuk apabila bapanya diganggu atau dikacau orang. Tun Perpatih Hitam telah berlaku biadap di hadapan Bendahara. Di Melaka, apabila ada orang yang biadap dengan Bendahara akan dibunuh oleh Laksamana. Manakala, Temenggunglah yang akan menangkap dan dipasung orang itu. Itulah budaya dan adat Melaka zaman Melaka. Apabila Tun Perpatih Hitam ditangkap oleh orang – orang Bendahara maka Tun Husin pun datang mendapatkan ayahnya itu. Maka Tun Perpatih Hitam pun dibunuh oleh Laksamana dengan menggunakan keris. Apabila Tun Husin melihat bapanya mati itu, dia pun segera menghunus kerisnya hendak melawan. Segala perkara yang berlaku itu telah dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud Syah. Laksamana dianugerahi persalin oleh Sultan Mahmud Syah.

EPISOD 18
Maharaja Merlung, Raja Inderagiri telah dikhabarkan hilang di Melaka. Setelah Raja Nara Singa pulang ke Inderagiri, baginda mendapati Maharaja Tuban, adik Maharaja Merlung itu sudah mati. Maharaja Isak ke Lingga bernikah dengan anak Raja Lingga. Apabila Raja Lingga mati, maka Maharaja Isak pun naik raja di Lingga. Baginda mendapat ramai orang anak. Maka Raja Nara Singa pun naik takhta sebagai raja di Inderagiri. Sultan Mahmud Syah menyuruh Hang Nadim ke Benua Keling untuk membeli empat puluh kain. Segala permintaan Sultan Mahmud Syah kepada Raja Keling. Raja Keling menghimpunkan 500 orang pelukis. Hang Nadim pulang dengan membawa segala kainnya menaiki kapal Hang Isak. Di tengah lautan, tiba – tiba kapal Hang Isak tenggelam. Hang Nadim terselamat. Raja Selan menyuruh hang Nadim membuat tanglung telur dan telah dipersembahkan kepada Raja Selan. Hang Nadim sampai di Melaka tanpa membawa kain – kain. Sultan Mahmud sangat murka dan Hang Nadim dijatuhkan hukuman bunuh. Laksamana Hang Tuah sudahpun mati. Menantunya Khoja Husin dijadikan sebagai Laksamana Melaka yang baru.

EPISOD 19
Sultan Mahmud Syah, Raja Pahang telah mangkat. Sultan Abdul Jamal telah menggantikan ayahanda baginda. Bendahara Pahang, Seri Amar Wangsa al – Diraja mempunyai seorang anak perempuan yang baik rupa parasnya bernama Tun Teja Ratna Menggala. Sultan Abdul Jamal hendakkan Tun Teja untuk dijadikan sebagai isteri. Sultan Abdul Jamal ditabalkan menjadi raja Pahang. Semua bomoh tidak dapat menjirat gajah – gajah kerana adanya Seriwa Raja. Sultan Abdul Jamal membawa naik Tun Umar ke atas gajah. Sultan Mahmud inginkan Tun Teja. Hang Nadim pergi ke Pahang untuk mendapatkan Tun Teja kerana inginkan pengampunan daripada Sultan Mahmud. Hang Nadim membawa pergi Tun Teja ke Melaka dengan menaiki kapal Nakhoda Sidi Ahmad. Sultan Pahang sangat murka apabila mendapat berita akan kehilangan Tun Teja. Sultan Mahmud Syah mengahwini Tun Teja. Sultan Abdul Jamal, raja Pahang sangat murka dan hendak menyerang Melaka. Sultan Abdul Jamal turun dari kerajaannya dan membawa diri ke Lubuk Peletang. Tempat baginda digantikan oleh anakanda baginda iaitu Sultan Mansur Syah.

EPISOD 20
Kota Maligai mempunyai seorang raja yang bernama Raja Sulaiman Syah. Anak Raja Siam, Cau Seri Bangsa menyerang dan telah berjaya menawan Kota Maligai. Cau Seri Bangsa telah masuk Islam. Baginda membina kerajaan di tempat yang bernama Pa’Tani. Cau Seri Bangsa pergi mengadap Sultan Mahmud untuk memohon nobat. Cau Seri Bangsa diberi gelaran oleh Sultan Mahmud Syah sebagai Sultan Ahmad Syah. Turun sebuah kapal dari atas angin ke Melaka. Sultan Mahmud Syah dan anakandanya Raja Ahmad mempergurukan Maulana Sadar Jahan dalam mengaji. Maulana Sadar Jahan digelar orang makhdum. Dalam keadaan mabuk, Seri Rama turut ingin mengaji. Makhdum Sadar Jahan pulang ke rumahnya apabila mendengar kata – kata dari Seri Rama. Tun Mai Ulat Bulu susah untuk menyebut perkataan bahasa Arab. Orang Kaya Tun Muhammad diutuskan menghantar surat ke Pasai. Raja Pasai membalas surat Raja Melaka.

EPISOD 21
Raja Ligor, Maharaja Dewa Sura hendak menyerang Pahang. Sultan Munawar Syah, Raja, Pahang menyuruh membaiki kota, memanggil semua rakyat memasuki kota dan membaiki senjata. Bendahara dan Laksamana pun pergilah ke Pahang untuk membantu negeri Pahang. Mengambil masa selama tiga hari untuk siap kota itu. Raja Ligor datang menyerang Pahang dengan segala rakyatnya dan dengan takdir Allah SWT, Pahang menang dalam peperangan itu.
            Ada sebuah kapal Feringgi dari Goah yang datang berniaga di Melaka. Pedagang itu melihat betapa makmurnya dan majunya negeri Melaka. Kapitan kapal itu pun pulanglah ke Goah dan memberitahu berita tersebut kepada ketua pemerintahnya iaitu Alfonso d’Albuquerque. Alfonso menyerang Melaka dengan menggunakan meriam. Maka Tun Hasan Temenggung, seorang panglima telah berlawan dengan tentera Feringgi itu dan beliau telah menyebabkan tentera Feringgi berundur ke Goah.

EPISOD 22
Anak Bendahara Seri Maharaja yang bernama Tun Fatimah didudukkan dan dikahwinkan dengan Tun Ali, anak Seri Nara al – Diraja. Sultan Mahmud Syah berdendam dengan Bendahara Seri Maharaja kerana tidak menunjukkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Raja Mendeliar dan Nina Suara Dewana mengadap Bendahara Seri Maharaja. Si Kitul melihat Nina Suara keluar daripada rumah Bendahara Seri Maharaja dan memberitahu Raja Mendeliar akan perkara ini. Raja Mendeliar membawa emas sebahara dan pakaian yang cantik – cantik ke rumah Laksamana. Sultan Mahmud menitahkan supaya Bendahara Seri Maharaja dibunuh. Bendahara Seri Maharaja dan Seri Nara al – Diraja dibunuh. Sultan Mahmud turun daripada kerajaannya dan digantikan oleh anakanda baginda iaitu Sultan Ahmad.

EPISOD 23
Alfonso d’Albuquerque mengadap Raja Portugal dan diperintahkan untuk mengetuai rombongan menyerang Melaka. Alfonso d’Albuquerque dari Goah bersiap sedia hendak menyerang Melaka. Maka berperanglah Melaka dengan Feringgi. Sultan Ahmad berundur ke hulu Muar lalu ke Pagoh. Sultan Mahmud berundur ke Batu Hampar. Tun Ali Hati mati dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah kerana beliau yang diminta dibunuh. Hang Nadim dilantik sebagai Laksamana kerana keberanian dan kegagahan beliau.

EPISOD 24
Sultan Abdullah, Raja Kampar menderhaka tidak mahu menyembah ke Bentan. Sultan Mahmud Syah menitahkan empat orang menteri iaitu Seri Amar Bangsa, Seri Utama, Seri Petam, Seri Nata dan Tun Biajit ke Inderagiri. Rombongan dari Melaka itu mengadap Sultan Nara Singa sesudah sampai di Inderagiri. Tun Biajit menyabung ayamnya dengan seekor ayam Raja Nara Singa dan Tun Biajit telah memenangi pertandingan itu. Feringgi telah menculik Sultan Abdullah lalu dibawanya ke Goah. Bendahara Kampar, Paduka Tuan ditukarkan gelarannya kepada baginda Seri Amar al – Diraja.

EPISOD 25
Di Lingga Maharaja Isak menjadi pemimpin. Baginda bersiap sedia menghadap ke Bentan untuk menghadap Sultan Mahmud. Setelah sampai di Bentan , Sultan Mahmud menyambut kedatangannya. Raja Nara Singa ( Sultan ‘Abdul Jalil )  , Raja Inderagiri menyerang Lingga dan menawan keluarga Maharaja Isak. Maka, menghadap ke Bentan untuk dinobatkan oleh Sultan Mahmud Syah sehingga baginda terlalu kasih akannya dikahwinkan sehingga mempunyai dua orang anak lelaki yang bernama Raja Ahmad ( bongsu) dan Raja Muhammad ( Raja Pang ) . Setelah diketahui akan Maharaja Isak, maka baginda berhasrat untuk menyerang Inderagiri dan menawan anak isteri Sultan ‘ Abdul Jalil.
Maka berlengkaplah Sang Setia untuk menyerang Lingga pula sehingga bertemu dengan Feringgi. Maka, setelah Lingga tiada alah, menghadap ke Sultan Mahmud lah segala perkhabaran sehingga baginda murka.
Laksama dan Sang Naya pun berdayunglah sehingga bertemu dengan fusta Feringgi itu lalu berperanglah.  Setelah itu, Laksamana dan Sang Naya pun kembalilah ke Bentan dan mengadap Sultan Mahmud Syah. Baginda murka kerana Laksamana tidak mahu pergi ke Lingga , tetapi Sang Naya dianugerahkan persalin dan gundik baginda yang bernama Tun Sadah itu, maka diperisterikannya oleh Sang Naya, beranak dua orang,seorang laki-laki bernama Tun Dolah,seorang perempuan bernama Tun ‘Abdul itu,anak Laksamana tuha Hang Tuah,beranakkan Tun Merak.
Sultan Mahmud berlengkap menyerang Melaka. Paduka Tuan dititahkan akan panglimanya. Tun Nara Wangsa , Tun Pikrama , Laksamana , Sang Setia dan segala hulubalang pun pergi berperang. Setelah datang ke laut sawang maka bertemu dengan sebuah jong Berunai yang hendak ke Melaka lalu dipanggil oleh Paduka Tuan. Sang Setia juga merampas jong dengan segala kelengkapan. Setelah itu , Paduka Tuan pun pergi dari sawang sehingga sampai ke Melaka. Paduka Tuan berhenti di Pulau Sabat. Orang Inderagiri pun membawa gendang hendak menobat sehingga dimalukan. Pada malam Jumaat segala cuaca ribut dan hujan lebat, Paduka Tuan pun berlengkaplah hendak menyerang tetapi ditundanya ke malam Sabtu. Gajah Sultan Mahmud Syah bernama Bidam Setia tinggal di Muar dinaiki oleh Paduka Tuan. Feringgi pun membedil sehingga banyak yang mati. Bidam Setia  juga telah patah gading. Sultan ‘ Abdul Jalil pun bersembahkan surat ke Bentan yang segala isi suratnya tentang peperangan. Setelah surat tersebut sampai ke Bentan,Sultan Mahmud berasa amat murka lalu menitahkan Tun Bijaya mengembalikan Paduka Tuan.  Malahan , dihantar dua keeping surat kepada Sang Setia. Tun Bijaya Sura pun pergilah ke Melaka lalu memberikan surat tersebut kepada Paduka Tuan,lalu segala hulubalang dan Bidam Setia kembali Ke Bentan.
Sesampainya di Bentan , Paduka Tuan dan Sultan ‘Abdul Jalil menghadap Sultan Mahmud Syah lantas memberi segala kandungan peperangan. Sultan ‘Abdul Jalil menyalahkan Paduka Tuan kerana tidak menyerang pada malam jumaat, lalu Paduka Tuan memberikan alasan keadaan ribut malam itu terlalu teruk maka terpaksalah berperang pada malam Sabtu.Setelah mendengar alasan daripada Paduka Tuan, segeralah orang yang datang kembali ke rumah masing-masing.

EPISOD 26
Kemangkatan Sultan Ibrahim telah diambil alih oleh anakanda yang bernama Raja Abdul. Raja Abdul telah menaiki takhta ayahnya iaitu memimpin kerajaan Siak . Setelah menaiki takhta, Raja ‘Abdul bersiap sedia menghadap sultan Mahmud Syah di Bentan dengan segala kelengkapan. Sesampainya di Bentan , Sultan Mahmud Syah amat gembira dengan kehadiran Raja Abdul , lalu Sultan Mahmud Syah , diberi gelaran dengan nama Sultan Khoja Ahmad dan baginda menjadikannya sebagai menantu.
Setelah beberapa lamanya, Sultan Khoja Ahmad dikurniakan dengan dua orang putera bernama Jamla dan Biajit. Sultan Khoja Ahmad juga mempunyai saudara lelaki ( abang) iaitu Raja Sami’un yang berkahwin dengan anak Raja Muara Kinta lalu dikurniakan tiga orang perempuan dan dua orang lelaki bernama Raja Isak dan Raja Kudrat.
Pada suatu malam, Sultan Mahmud Syah terkenang akan negeri takluknya yang tiada khabar iaitu Beruas dan Manjong dan Tun Aria Bija Di- raja yang tidak pernah mengadap baginda. Maka, pada malam itu juga, baginda memanggil bendahara untuk meluahkan isi hatinya. Bendahara pun memberi pendapat untuk memanggil Tun Aria Di-Raja kerana paduka I tuan Ipar kepadanya. Sultan Mahmud syah bersetuju dengan pendapat bendahara,lalu, baginda menitahkan untuk memanggil Paduka Tuan.
Paduka Tuan mengadap Baginda setelah mendapat tahu hasrat Sultan Mahmud Syah. Dengan sukacitanya, Paduka Tuan pergilah ke barat dengan tiga puluh kelengkapan bersama-sama anak lelaki ( Tun Mahmud Syah ) serta Tun Sabtu adik kepada Tun Aria Bija al Di -raja. Sesampainya di barat,disambutlah ketibaan mereka dengan penuh meriah oleh Tun Aria BIja al Di- Raja. Setelah bermesra-mesraan, Paduka Tun menyatakan hasrat Sultan Mahmud Syah bertemu dengannya Tun Aria Bija al Di-Raja.
Setelah datang hari baik , Tun Mahmud dikahwinkan dengan Tun Mah. Kerajaan Selangor pun diberikan Paduka Tuan kepada anaknya. Setibanya di Bentan, Paduka Tuan menghadap Sultan Mahmud Syah. Tuan Aria Bija al Di-Raja pun berangkat ke Bentan setelah lengkap segala persiapan. Setelah sampai di Bentan, baginda menghadap Sultan dan bergembiralah kedua-duanya. Tun Aria Bija al Di-Raja pun dianugerahi nobat dan akan menyerang Melaka dengan pengikutnya daripada Melaka.
Maka, Sultan Mahmud Syah memberikan cincin kepada Tun Aria Bija al Di-Raja , sesampainya di barat, segala hulubalang menghadap nobat dan menyembah Tun Aria Bija al Di-Raja. Tun Aria BIja menyembah mengadap ke Bentan ,sambil berkata ‘’ daulat Sultan Mahmud Syah’’. Tun Aria BIja al-Di Raja dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu Raja Lela , Tun Rana dan Tun Sayid. Sultan Abdul Jalil berangkat ke Inderagiri. 

EPISOD 27
Raja Harun ( Sultan Husin ) terlalu baik rupa dan sikapnya. Baginda berkenan dengan Raja Putih ( anak Sultan Mahmud Syah ) maka berniat untuk pergi ke Bentan berjumpa dengannya. Namun, niatnya dihalang oleh bondanya kerana Raja putih itu merupakan musuh mereka. Sultan Husin tetap bertegas akan pergi ke Hujung Tanah meski dibunuh sekalipun. Maka, Sultan Husin pun berangkat ke Bentan dengan dua buah Jong ,satu kenaikan ,sebuah pebujangan. Setelah berapa hari , sampailah ke Layam. Sultan Husin pun bertemu di Tekulai dengan Sultan Muda. Maka, Sultan Husin pun naik ke perahu bendahara untuk ke Sakai.
Setelah sampai ke Jambu Air , Sultan Mahmud Syah mendapatkan gajah dan Sultan Husin lalu dipeluk , dicium dan dibawa naik ke atas gajah. Kemudian , mereka memasuki balairung dan menjamu hidangan. Sultan Husin bersama dengan Seri Indera , seorang abintara sedang mendengar orang di balai bersorak kerana menyambung.
Hulubalang Sultan Husin benama Din dipuji oleh Sultan Husin ketika baginda sedang mabuk. Sultan Mahmud pun mengahwinkan Sultan Husin dengan Raja Putih tetapi tidak disukai oleh Raja Putih sehingga Raja Putih melarikan diri ke rumah ayahandanya. Lalu, Sulan Husin pun memujuk Raja Putih sehingga wujudnya rasa kasih sayang antara mereka.
Sultan Husin pun memohon untuk kembali ke Haru . Baginda berlengkap dan berangkat dengan Raja Putih sehingga diberi segala pakaian , alat kerajaan dan emas juga sebahara. Sesampainya di Haru , Sultan Husin menghadap bondanya dan menceritakan tentang pelbagai makanan yang dihidangkan oleh raja dan pinggan mangkuk yang diperbuat oleh emas, perak dan tembaga suasa.

EPISOD 28
Sultan Pahang dijadikan menantu oleh Sultan Mahmud Syah  . Maka , angkatan dari Goah telah hadir di Melaka dengan tiga puluh kapal ,empat buah ghalias , lima buah ghali Panjang , lapan fusta , dua banting yang menyerang. Sultan Mahmud menitahkan segala rakyat untuk berkumpul  , lalu surat daripada Seri Udana I telah mendatangkan murka Sultan. Seri Nara al Di-Raja datang ke perahu Paduka Tuan untuk bermusyawarah tetapi telah dikepung oleh Feringgi.  Semasa peperangan , kalahlah Sang Setia sehingga ramaiyang mati dan luka, Sang Setia pun meminta bantuan daripada . Sultan Mahmud menghantar Tun Nara Wangsa untuk membantu. Perang terus berlaku sehingga Sang Setia mati.
Seri Nara al di-Raja pun memberi pandangannya kepada Sultan Mahmud untuk berundur kerana negeri Bentan telah kalah. Sultan Mahmud pun berasa berat hati untuk meninggalkan harta dan emas yang banyak di negerinya. Lalu , segala harta dan emas diberi kepada bendahara sehingga Feringgi datang merampas semua harta .
Sultan Mahmud pun masuk ke dalam hutan dengan ditemani oleh banyak dayang-dayang perempuan dan Seri Nara al di -Raja sehingga tiada makan. Maka tun Nara Wangsa pun mencari nasi untuk diberi makan kepada sultan . Tun Nara Wangsa terjumpa dengan seorang perempuan membawa nasi dalam bakul. Tun Nara Wangsa pun mengambil daun balik adap lalu memberikan  nasi kepada Sultan Mahmud.  
Sultan Mahmud menyuarakan tentang ketiadaan   emas walaupun sekupang. Maka,  Tun Nara Wangsa pun mencarilah sehingga melihat seorang mmbawa karas  lalu Tun Nara Wangsa merampasnya dan memberikan kepada Sultan Mahmud Syah. Sultan Mahmud Syah pun berangkat ke Bentan lalu ke Sayung. Tun Pikrama dan Tun Mahmud pun menjemput Yang Dipertuan.  Feringgi pun berundur selama lima belas hari.
Sultan Mahmud pun bertanya kepada bendahara akan destinasi seterusnya untuk berkelana. Bendahara memberikan cadangan berkelana ke Kampar . Baginda juga memberi empat pilihan untuk diberikan Bendahara  sebagai  gelaran sama ada Tun Telani atau Tun Bijaya Maha Menteri atau Tun Aria Bija al – Diraja atau Seiri Nara al -Diraja. Maka, baginda menggelarkan Tun Mahmud sebagai Seri Akar Raja. Kedengaranlah kerajaan Haru bahawa Bentan sudah kalah lalu Sultan Husin pun mendapatkan Sultan Mahmud Syah.Anak Sultan Mahmud Syah pun dikahwinkan dengan anak raja Pahang. Tidak lama kemudian, Sultan Mahmud jatuh sakit ( gering ) lalu baginda memanggil Bendahara Paduka Tuan dan Seri Nara al-Diraja serta orang-orang besar. Setelah Sultan Mahmud mendengar segala luahan para pembesarnya, Sultan Mahmud pun mangkat ( meninggal ) . Raja Muda perempuan diincitkan oleh bendahara dan segala orang kaya-kaya.
Sultan Kedah beranak seorang perempuan, Raja Siti Namanya. Seri Akar Raja pun pergi ke Kedah beristerikan anak Raja Kedah yang bernama Raja Siti lalu dibawa ke Selangor . Seri Akar Raja pula dijadikan bendahara di Selangor. Sultan Muzaffar pula mempunyai anak bernama Raj Dewi , Raja Ahmads pula mempunyai anak bernama Raja ‘Abdul Jalil , Raja Fatimah , Raja Hatijah , Raja Tengah dan semuanya seramai enam belas orang bersama -sama dengan isteri baginda Tun Terang yang beranak dengan seorang gundik bernama Raja Muhammad.
   
EPISOD 29
Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Shah menitahkan Bendahara Paduka Tuan bersiap kerana baginda ingin berangkat ke Pahang untuk mencari isteri. Kedatangan baginda disambut dengan mulia oleh Sultan Mahmud Syah, maka baginda ( Sultan ‘Alauddin Ri’yat Shah) dikahwinkan dengan saudara Sultan Mahmud.
Setelah itu, Raja Pahang menghantar bunga emas dan bunga perak ke Siam. Sultan Mahmud suruh berlengkap dan menyuruh mengarang surat pada Raja Siam dan Berakelang. Sultan Mahmud memberitahu bahawa baginda akan memberi kiriman ke Berakelang . Maka, utusan pun ke Siam. Berakelang pun mendapat utusan daripada Raja Pahang dan Bendahara Hujung Tanah yang berisi tentang kasih. Berakelang pun hanya menerima surat daripada Hujung Tanah tetapi menolak surat daripada Raja Pahang dengan alasan ketinggian martabat. Selepas itu, segala kata yang diperkatakan oleh Berakelang disampaikan kepada Sultan Mahmud. Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Shah di Pahang kembali ke Pahang. Baginda mendengar Seri Akar Raja menjadi bendahara di Perak sehingga mencetuskan kemarahan sultan. Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Shah pun menitahkan Tun Nara Wangsa untuk memanggil Seri Akar Raja di Perak.
Tun Pikrama pun berlengkap dan menuju ke Perak. Sesampainya di Perak , Seri Akar Raja berasa marah dengan kelakukan Tun Pikrama , lalu Tun Pikrama berpatah balik ke Hujung Tanah. Segala kejadian diceritakan kepada Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah. Baginda Sultan pun menitahkan bendahara ke Perak.
Bendahara Paduka Tuan pun mengalukan kedatangan  Sultan Muzaffar Syah ke dalam istana sehingga bersantap bersama-sama. Setelah bersantap , Bendahara Paduka Tuan pun berangkat rumah Seri Akar Raja dan Sultan ‘Alauddin Ri’ayat terlalu sukacita kerana bendahara berjaya membawa Seri Akar Raja.
Adipati Kampar pun datang membawa ufti pada Seri Nara al-Diraja yang sedang sakit. Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Shah pun menyuruh Tun Pikrama menyerang Merbedang sehingga kalah dan akhirnya diberikan anugerah oleh Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Shah.

EPISOD 30
Sang Naya bersiap sedia ke Melaka untuk menyerang Feringgi. Datang seorang Feringgi minta sirih pada Sang Naya.Apabila makan sirih maka diangkat sendal karas itu, dilihatnya keris terlalu banyak dalam karas itu Setelah Sang Naya diberitahu kapitan akan mengatup karas, maka Sang Naya pun dipanggil oleh Feringgi dan disuruh mengambil keris di pinggang Sang Naya untuk membunuh semuanya.Sang Naya pun ditolak keluar ke atas Kota Tinggi sehingga mati.
 Feringgi mengutuskan ke Pekan Tuha memberitahu Sang Naya sudah mati. Maka , Sultan A’lauddin Ri’ayat Shah itu menyuruh menangkap Feringgi dan bersiap menyerang Hujung Tanah dengan segala kelengkapan.  Maka, Tun Nara Wangsa dan Tun Pikrama pun membaiki kota kara sehingga tibalah Feringgi membedilnya.  Hang ‘Alamat pun menjadi pengantara untuk melihat peperangan yang terjadi antara keduanya dan menyampaikan berita bahawa Sultan A’lauddin Ri’ayat Shah memanggil mereka berdua. Segala senjata pun dicampakkan ke dasar laut. Lalu, mereka berangkat menghadap sultan. Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Shah pun menyuruh memberi surat kepada Kapitan Mor Feringgi itu. Tun ‘Ali ,anak laksamana disuruh membawa surat sehingga apabila kelihatan ghalias Feringgi dibedil mereka seperti hujan. Setelah sampai ke Pekan Tuha,Kapitan Mor Tun  Amat ‘Ali diberi persalinan dan menyampaikan surat perdamaian untuk berdamai dengan Feringgi. Berapa lama kemudian, Seri Nara al- Diraja pun kembali ke rahmatullah dan dikuburkan di Sayung.

EPISOD 31
Batin Singapura ( Patih Ludang ) berdendam pada Sang Setia lalu hendak membununhnya.  Maka, Patih Ludang bergerak ke Pahang pada ketika itu Raja Jainad telah memimpin kerajaan. Maka sesampinya, Raja Jainad di Hujung Tanah, diberi nama Raja Jainad Sultan Muzaffar Syah. Setelah Patih Ladang pada Sang Setia,dibunuhnya. Setelah Sultan Muzaffar Syah mendengar Patih I Ludang  sudah dibunuh sang Setia maka marahlah baginda. Maka, baginda mahu berangkat ke Pahang untuk menangkap Sang Setia. Segala laksamana pun bersiap sedia menangkap dan mengikat Sang Setia. Setibanya di rumah Sang Setia, segala pintu pagar ditutupnya. Maka, setelah Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah mengetahui , Sang Setia mahu diikat dengan destarsahaja, segala laksamana mendapatkannya untuk dibawa kepada Sultan. Sang Setia pun dibawalah menghadap Sultan Muzaffar Syah dengan diiringi oleh segala hulubalang. Setelah menghadap Sultan , Sang Setia disuruh melepaskan ikatannya. Setelah itu, Sultan Muzaffar Syah pun berangkat pulang ke Pahang.


2 comments:

  1. Sinopsis setiap bab memudahkan pelajar mencari bahan pengajaran

    ReplyDelete
  2. Isi yang ringkas dan memudahkan pemahaman pelajar

    ReplyDelete